Banjir termenung: Jumlah mangsa di Batu Pahat meningkat

Keadaan banjir di Sri Medan Batu Pahat pada Rabu.
Keadaan banjir di Sri Medan Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bilangan mangsa banjir di daerah Batu Pahat dilaporkan masih meningkat meskipun cuaca bertambah baik dan tidak hujan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, banjir termenung kini berlaku di beberapa kawasan di daerah itu.

"Batu Pahat walaupun hujan berhenti, tetapi airnya masih lagi termenung. Biasanya keadaan banjir termenung mengambil masa untuk air banjir itu surut.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani telah membuat penyelarasan untuk memastikan air banjir termenung itu akan surut dengan cepat," katanya.

Onn Hafiz
Onn Hafiz

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan konvoi pascabanjir Sounthern Volunteers, sukarelawan dan agensi kerajaan di Dataran Mahkota Kota Iskandar, di sini, pada Rabu.

Setakat jam 8 pagi pada Rabu, tiga daerah di negeri ini iaitu Batu Pahat, Muar dan Tangkak terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi.

Pertambahan jumlah mangsa banjir di tiga daerah itu menyumbang kepada meningkatnya jumlah mangsa banjir di seluruh negeri iaitu kini seramai 40,141 orang daripada 11,468 keluarga di 202 pusat pemindahan sementara (PPS).

Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 27,774 orang daripada 7,898 keluarga di 91 PPS.

Manakala Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,080 orang daripada 1,227 keluarga di 21 PPS, manakala Tangkak, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 2,536 orang (780 keluarga) di 23 PPS.