Pinda tiga akta, tambah baik perlindungan mangsa jenayah seksual

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meminda tiga akta bagi menambah baik perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual, sekali gus menjamin keadilan kepada pihak terlibat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang berkenaan adalah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792); Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

Jelasnya, pindaan akan dilakukan menerusi dua fasa iaitu pembentangan pindaan Akta 792 dan Akta 676 di Parlimen pada sesi ini manakala Akta 56 akan dilaksanakan pada sesi seterusnya selepas selesai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

"Antara cadangan pindaan yang akan dibuat adalah memperkenalkan langkah tambahan mesra kanak-kanak untuk melindungi mangsa kanak-kanak, mewujudkan kesalahan baharu dan memperuntukkan pampasan kepada mangsa kanak-kanak.

"Pindaan perundangan yang bakal dilaksanakan ini adalah perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia, selain menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini.

"Reformasi yang dicadangkan diharap membantu mangsa atau saksi kanak-kanak daripada mengalami trauma berpanjangan akibat terpaksa melalui proses perbicaraan yang berpanjangan, berulang-ulang dan sistem kehakiman yang bersifat tidak mesra kanak-kanak," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Azalina (BN-Pengerang) memaklumkan, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 60 buah negara dalam tindakan balas kepada ancaman eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak (CSEA) dengan jumlah markah 56.9 di belakang rakan Indonesia (68.1), Thailand (58.7), Filipina (58.4) dan Vietnam (58.4) berdasarkan indeks antarabangsa Out of The Shadows.

Justeru katanya, langkah proaktif perlu dilakukan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa.

Sementara itu mengenai penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK), beliau menjelaskan, ia telah diperluas ke 13 lokasi di seluruh Malaysia iaitu di Johor Bahru (Johor), Melaka, Seremban (Negeri Sembilan), Klang (Selangor), Ipoh (Perak), Georgetown (Pulau pinang), Alor Setar (Kedah), Kangar (Perlis), Kuantan (Pahang), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Bharu (Kelantan), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

“Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya terdapat 40 buah Mahkamah Sesyen Jenayah Am di seluruh Malaysia bersedia untuk mengendalikan kes JSKK.

“Dari segi ketersediaan infrastruktur ICT dan bukan ICT serta kelengkapan bilik saksi kanak-kanak di Mahkamah JSKK, pada masa ini hanya Mahkamah JSKK di Putrajaya, Klang, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur adalah lengkap sepenuhnya,” jelasnya.