KPKT sasar selesaikan 10 projek PR1MA 'sakit' tahun ini

AKMAL NASRULLAH
AKMAL NASRULLAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk menyelesaikan sebanyak 10 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang terbengkalai pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, namun begitu, ia bergantung kepada keadaan semasa termasuk berkaitan tenaga kerja, kelulusan di peringkat kerajaan tempatan mahupun utiliti.

Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 18 projek perumahan telah dikesan mempunyai masalah atau sakit dan terbengkalai.

“Ketika ini, KPKT wujudkan pasukan petugas (task force) projek rumah lewat, sakit dan terbengkalai.

"Selain daripada rumah swasta, kita juga pantau secara rapat projek yang dibina atau diusahakan oleh agensi berkaitan kerajaan atau syarikat berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin mengetahui jumlah projek PR1MA yang terbengkalai di seluruh negara.

Selain itu, bagi Skim Pembiayaan Rent-To-Own (RTO), beliau berkata, sebanyak 14 Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dilaksanakan di seluruh negara yang melibatkan 6,066 unit rumah.

Jelasnya, sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim tersebut di seluruh negara berbaki 1,376 unit belum ditawarkan

“KPKT sedang meneliti untuk mempelbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi bantu golongan sasar memiliki rumah khususnya B40,” katanya.