Kerajaan muktamadkan laluan kenderaan mikromobiliti

Shah Alam telah dipilih sebagai lokasi pertama pengujian kenderaan jenis mikromobiliti di jalan raya. - Gambar hiasan
Shah Alam telah dipilih sebagai lokasi pertama pengujian kenderaan jenis mikromobiliti di jalan raya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memuktamadkan Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti yang memperincikan keperluan infrastruktur serta kemudahan sokongan bagi kenderaan mikromobiliti seperti personal mobility aids (PMA), personal mobility devices (PMD) dan moped.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, garis panduan yang dibangunkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) itu disediakan sebagai dokumen panduan dan rujukan kepada jabatan, agensi Persekutuan, pihak berkuasa negeri dan tempatan serta pihak berkepentingan dalam merancang dan membangunkan bentuk laluan kenderaan berkenaan di kawasan sedia ada dan baharu.

"Dalam hubungan ini, pihak berkuasa berkenaan hendaklah menyediakan suatu infrastruktur jalan yang selamat bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti berdasarkan kepada garis panduan yang telah dibangun atau ditetapkan," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan solusi kepada pengusaha perkhidmatan sewaan kenderaan mikromobiliti yang terjejas pendapatan akibat penguatkuasaan undang-undang larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya.

Dalam pada itu Hasbi (GPS-Limbang) memaklumkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga sedang merangka satu keperluan spesifikasi bagi penilaian keselamatan berhubung kenderaan berkenaan.

“Ini bagi melihat keperluan mewujudkan satu standard atau piawaian kenderaan mikromobiliti dalam menjamin keselamatan pengguna.

“MIROS juga sedang bekerjasama dengan Futurise Sdn Bhd dalam membangunkan garis panduan operator atau syarikat pengendali mikromobiliti di bawah program medan uji regulatori negara di samping menguji pakai garis panduan PLANMalaysia.

“Shah Alam melalui Majlis Bandaraya Shah Alam telah dipilih sebagai lokasi pertama pengujian atau sandbox bagi menguji pakai kesemua garis panduan ini. Garis panduan dan projek sandbox ini akan dirasmikan pada 12 Mac 2023 di Shah Alam,” katanya.

Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan Afnan mengenai kebenaran khas kepada pengusaha penyewaan mikrobomibili, dan usaha kerajaan memastikan keselamatan pengguna, Hasbi menjelaskan, perkara tersebut akan diumumkan pada majlis perasmian kelak.