Polemik surat tular RoS, kenyataan Saifuddin isu 'Top 2'

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu percanggahan surat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkaitan keputusan usul tambahan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu menjadi semakin panas serta mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada pimpinan UMNO sendiri.

Pada Selasa, tular satu surat mendakwa keputusan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan akan datang adalah tidak sah.

Surat dengan kepala surat (letterhead) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) itu didakwa diutuskan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2 Mac lalu.

Surat berkenaan memaklumkan, RoS telah meneliti secara terperinci permohonan pindaan Usul Tambahan (Usul Kelapan) ke atas Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menetapkan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dengan mengambil kira dasar UMNO yang berkuat kuasa.

Ia terdahulu dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Rabu oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan kenyataan yang dikeluarkan kepada media berbanding surat yang tular.

Justeru, beliau mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan kriteria dalam memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan meluluskan usul tambahan berkenaan.

Menurutnya, dalam perenggan dua surat tular itu menyatakan bahawa jabatan itu mendapati usul tambahan UMNO yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan perlembagaan parti berkenaan.

Pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1) (c) (iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti berkenaan.

Saifuddin berkata, pihaknya telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh PAU 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 3 Mac lepas.

Hal itu menyebabkan timbulnya persoalan mengenai keperluan untuk memberi pengecualian kepada perkara berkenaan.

Ahmad juga menerusi siaran di laman Facebook pada Selasa memaklumkan bahawa kenyataan KDN berhubung kelulusan usul tambahan PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti berkenaan cukup menjelaskan tiada pelanggaran kepada peraturan dan perlembagaan UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjelaskan beliau tidak tahu mengenai surat yang tular mengenai usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tidak sah.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, UMNO perlu mengambil tindakan pembetulan dengan melaksanakan semula pemilihan jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, perlembagaan UMNO sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.