Sayangilah wanita walaupun adakala mereka sukar difahami

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SABAN tahun, hari ini adalah hari penghargaan buat wanita sedunia, mungkin ada antara wanita yang meraikannya dengan mengambil cuti, bukan hanya cuti kerja tetapi termasuklah dengan keputusan cuti daripada memasak.

Itu bagi wanita yang ‘mampu’ untuk mengambil ruang meraikannya. Namun, tidak semua ada rezeki berpeluang menikmati kebebasan yang sama, no me time, no healing time.

Merak Jalanan sangat terharu dengan pengorbanan wanita berkerjaya, tidak pernah kenal erti penat selepas seharian bekerja di pejabat, berkejaran pulang ke rumah untuk persiapan keluarga, paling kurang makan malam mesti terhidang sebelum jam 9 malam tanpa gagal.

Itulah ibu dan isteri Merak Jalanan yang sentiasa menduduki takhta teratas, terlalu istimewa dalam sanubari. Pernah sesekali bertanya tentang kehidupan dua insan ini, daripada mana datangnya kekuatan luar biasa yang tidak ada pada orang lain?

“Tak ada apa, selain tanggungjawab kepada keluarga,” kata isteri Merak Jalanan.

Melihat laporan media kebelakangan ini, kes suami gagal menjaga isteri, menuntut cerai malahan lebih kejam, sanggup memukul isteri dan mendatangkan kecederaan hinggakan pihak berkuasa pula menjadi orang tengah.

Di manakah akal fikiran kita menafikan hak wanita yang terlalu banyak berkorban untuk kehidupan orang lain hinggakan kadangkala terabai diri sendiri.

Jika tidak pandai menghargai wanita, bebaskan dia, tidak perlu menjadi penghukum yang tidak bermoral, buruk natijahnya nanti.

Lelaki perlu ingat, wanita ada pasang surutnya juga dan kadangkala sukar difahami kerana mereka juga manusia yang beremosi.

Jadi kalau mahu hidup tenang, sayangilah wanita walaupun adakala anda rasa tidak memahami mereka.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa.