Banjir: Orang Asli Sungai Peroh jalan ikan tambah pendapatan

Orang Asli Sungai Peroh menggunakan perkhidmatan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar membeli bekalan makanan selepas terjejas banjir sejak 27 Februari lepas. - Foto Bernama
Orang Asli Sungai Peroh menggunakan perkhidmatan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar membeli bekalan makanan selepas terjejas banjir sejak 27 Februari lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang di sini mengambil inisiatif menjala ikan di kawasan dinaiki banjir, dan menjual hasil tangkapan itu kepada orang ramai bagi menambah pendapatan sampingan.

Timbalan Tok Batin, Yusri Abdullah berkata, ini berikutan jalan utama memasuki perkampungan itu ditenggelami air dan mengakibatkan lebih 100 penduduk daripada 40 keluarga di kampung yang berhampiran Sungai Sembrong itu, terputus hubungan sejak 27 Februari lepas.

"Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan dan di ladang. Sudah lebih seminggu terputus hubungan dan penduduk tidak boleh pergi bekerja dan ke bandar, hanya menjalani kehidupan di kampung ini sahaja.

"Jadi ada dalam kalangan mereka telah memasang jaring dan jual hasil tangkapan kepada pekerja ladang sawit berdekatan, untuk menambah pendapatan,” katanya kepada Bernama selepas menerima bantuan keperluan asas daripada Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) di kampung itu pada Selasa.

Yusri berkata, penduduk di perkampungan itu, hanya mampu terus berdoa dan berharap banjir kembali surut secepatnya, sekali gus membolehkan mereka bekerja dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Keadaan di jalan utama Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang yang ditenggelami air. - Foto Bernama
Keadaan di jalan utama Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang yang ditenggelami air. - Foto Bernama

Beliau berkata, walaupun terputus hubungan, namun penduduk tetap mendapat bekalan keperluan asas berikutan pelbagai pihak telah menghantar termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), selain polis turut melakukan kawalan bagi tujuan keselamatan serta mendapatkan perkembangan semasa penduduk.

Yusri berkata, terdapat hanya dua laluan untuk ke perkampungan tersebut, iaitu menggunakan bot menerusi ladang sawit Sungai Bahai dengan mengambil masa 30 minit dan laluan kenderaan pacuan empat roda dari Ladang Paloh yang mengambil masa lebih tiga jam.

Beliau berkata, situasi banjir yang melanda kampung itu, hampir sama seperti musibah berlaku pada 2006 yang menyebabkan perkampungan itu terputus hubungan selama tiga minggu dan kedalaman air kira-kira dua meter.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas kepada 40 keluarga di kampung itu termasuk beras, minyak masak, biskut, susu bayi dan lampin pakai buang bernilai RM3,000, sekali gus berharap agar bantuan itu dapat meringankan beban mereka.

Mas Imran (kanan) memeriksa barang bantuan yang akan diberikan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang. - Foto Bernama
Mas Imran (kanan) memeriksa barang bantuan yang akan diberikan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang. - Foto Bernama

Beliau berkata setakat ini, secara keseluruhan pelbagai bantuan telah diberikan Econsave kepada mangsa banjir di Johor dan Melaka dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000. - Bernama