Pastikan keperluan mangsa banjir di PPS mencukupi - Sultan Johor

Sultan Johor berkenan melawat mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Batu Pahat, pada Selasa. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor berkenan melawat mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Batu Pahat, pada Selasa. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Selasa bertitah pihak berkuasa serta jabatan dan agensi berkaitan hendaklah memastikan bekalan keperluan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa mencukupi.

Baginda bertitah, ia bagi memastikan kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS selepas kediaman mereka dinaiki air, mendapat keperluan yang secukupnya.

"Berikutan keadaan cuaca tidak menentu, saya mahu pihak berkuasa serta semua agensi terlibat sentiasa memastikan barangan keperluan mangsa-mangsa banjir, sentiasa mencukupi di PPS.

"Pada masa sama, kepada semua pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi banjir, sentiasa berhati-hati sewaktu menjalankan tugas anda,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook baginda, pada Selasa.

Sultan Ibrahim bertitah pihak berkuasa serta jabatan dan agensi berkaitan hendaklah memastikan bekalan keperluan mangsa banjir di PPS sentiasa mencukupi. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim bertitah pihak berkuasa serta jabatan dan agensi berkaitan hendaklah memastikan bekalan keperluan mangsa banjir di PPS sentiasa mencukupi. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Terdahulu, Sultan Johor berkenan berangkat ke Batu Pahat bagi menziarah dan menyantuni mangsa banjir di beberapa PPS, selain meluangkan masa beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat serta meninjau persekitaran PPS.

Hantaran itu turut memaklumkan Sultan Ibrahim berangkat dari Johor Bahru kira-kira jam 9.30 pagi tadi menaiki kenderaan pacuan empat roda ke PPS Sekolah Agama Taman Sri Kota, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani dan PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan.

Sultan Johor turut mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), dengan kerjasama Malaysia Retail Chain Association (MRCA).

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 39,477 orang, dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah teramai iaitu 25,690 orang. - Bernama