Tembak isteri: Polis siasat dakwaan penyalahgunaan dadah

Lokasi kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat.
Lokasi kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat.
A
A
A

KANGAR - Polis masih menjalankan siasatan mengenai dakwaan kemungkinan berlaku penyalahgunaan dadah oleh Lans Koperal yang menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dari segala aspek ke atas lelaki terbabit yang masih dalam tahanan reman sehingga 12 Mac ini.

Katanya, suspek berusia 27 tahun itu juga sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

"Berkaitan dakwaan penyalahgunaan dadah ia masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek mendapat kebenaran daripada ketua untuk membawa pulang senjata api kerana masih dalam tugasan operasi.

"Walaupun waktu bertugas sudah tamat tetapi suspek masih berada dalam tempoh operasi jadi itu membolehkannya membawa pulang senjata api ke rumah," katanya.

Dalam kejadian pada Ahad, suri rumah, Safsufarnisya Salleh, 26, yang hamil lima bulan maut selepas ditembak suaminya kira-kira jam 7 pagi.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.