Jumlah mangsa banjir di tiga negeri turun petang ini

Keadaan sebuah rumah yang masih digenangi banjir termenung ketika tinjauan di Kampung Batu Gajah, Sungai Rambai pada Isnin. - Foto Bernama
Keadaan sebuah rumah yang masih digenangi banjir termenung ketika tinjauan di Kampung Batu Gajah, Sungai Rambai pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun sedikit dengan 42,459 orang ditempatkan di 235 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini berbanding 42,909 orang pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus menyusut kepada 39,315 orang di sembilan daerah setakat 2 petang tadi berbanding 39,620 orang pada 8 pagi tadi, berikutan ramai mangsa di beberapa daerah telah pulang ke rumah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, meskipun cuaca semakin baik hampir di semua daerah, terdapat peningkatan mangsa dan pembukaan PPS baharu di Batu Pahat dan seramai 11,143 keluarga ditempatkan di 212 PPS seluruh negeri setakat ini.

"Daripada sembilan daerah, Batu Pahat yang paling terjejas dengan seramai 23,370 mangsa ditempatkan di 78 PPS; diikuti Muar dengan 4,106 orang (23 PPS) dan Segamat 3,620 orang (45 PPS),” kata jawatankuasa itu, dalam satu kenyataan pada Selasa.

Angka korban akibat banjir kini enam orang termasuk kematian seorang warga emas akibat sakit tua di pusat pemindahan sementara di Yong Peng, tengah hari Isnin.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini ialah seramai 2,538 orang, berkurangan daripada 2,684 orang yang direkodkan pagi tadi.

Penurunan mangsa melibatkan daerah Rompin iaitu 2,525 orang di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 2,671 orang di 18 PPS pada pagi tadi, manakala mangsa di Maran kekal 13 orang di sebuah PPS.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin hanya bertambah seorang iaitu melibatkan seramai 606 mangsa daripada 162 keluarga setakat jam 2 petang berbanding 605 mangsa daripada 161 keluarga pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah melibatkan 211 mangsa daripada 56 keluarga; SK Parit Penghulu sebanyak 146 orang daripada 35 keluarga; SK Seri Mendapat sebanyak 88 orang daripada 22 keluarga dan SK Sungai Rambai seramai 99 orang daripada 25 keluarga.

"Sementara di SK Parit Gantong, mangsa yang ditempatkan di PPS itu melibatkan sebanyak 62 orang daripada 24 keluarga,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa. - Bernama