Sumbangan RM40 juta kepada Turkiye bantuan kecil - Anwar

Anwar- Foto Bernama.
Anwar- Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan menyalurkan sumbangan berjumlah RM40 juta kepada Turkiye ketika negara itu dilanda gempa bumi kuat yang mengorbankan puluhan ribu nyawa baru-baru ini.

Menurutnya, jumlah bantuan itu adalah kecil berbanding bantuan berjumlah ratusan juta ringgit yang pernah diberikan Kerajaan Turkiye di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdogan kepada negara ini ketika pandemik Covid-19.

"Ada orang kritik kenapa bagi banyak sangat kepada Turkiye? Sebenarnya tak banyak... kita bagi kecil.

"Semasa kita hadapi masalah pada awal dulu ketika Covid-19 dan ekonomi menurun, banyak pelabur kita di Turkiye.

"Pada masa itu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membantu kita cecah ratusan juta ringgit untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kita," katanya pada Selasa.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 dan jamuan makan tengah hari bersama pasukan penyelamat misi bantuan kemanusiaan dan bencana Malaysia ke Turkiye, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, selain hubungan istimewa Malaysia-Turkiye beliau juga memiliki hubungan persahabatan yang baik dengan Erdogan.

"Jadi jangan kita, bila orang dalam keadaan susah, dia (Turkiye) ringankan (masalah Malaysia).

"Saya tanya yang meninggal dunia dan terkesan (akibat gempa) dan dana untuk membangunkan (kerugian) memerlukan ratusan bilion ringgit. Jadi kita cuma beri sumbangan yang kecil untuk meringankan," katanya.

Pada 16 Februari lalu, Anwar berkata dana bantuan kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria mencecah RM50 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40 juta akan disumbangkan ke Turkiye, manakala RM10 juta lagi kepada Syria.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan sangat menghargai pengorbanan semua anggota SAR daripada pelbagai agensi yang menyertai misi bantuan ke Turkiye.

"Saya sebagai Perdana Menteri sangat bertuah dan bernasib baik kerana jentera kita begitu efisen dan meredakan serta meringankan masalah yang dihadapi rakyat," katanya.