Tauliah di Selangor: Tiada 'special lane' walaupun popular

Abdul Aziz - Foto Bernama
Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 5,642 penceramah berkelayakan sudah menerima tauliah di Selangor sehingga 7 Disember tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tiada 'special lane' atau kebenaran khas diberikan kepada mana-mana penceramah walaupun penceramah terbabit seorang yang popular.

Menurutnya, kuasa MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tertakluk kepada undang-undang serta peraturan berkuat kuasa di Selangor dan individu mengajar tentang agama Islam di negeri ini perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

"MAIS amat mengalu-alukan semua pihak yang ingin memohon tauliah di Selangor sama ada untuk mengajar, berceramah atau sebagainya.

"Bagaimanapun, setiap individu hendaklah membuat permohonan tauliah kepada Jawatankuasa Tauliah MAIS melalui JAIS terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Merasmikan Majlis Penutup Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang-undang Poligami di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Pada Ahad, pengendali laman Facebook Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar memaklumkan dua ceramah beliau di Selangor pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.

Dua ceramah berkenaan dijadualkan berlangsung di dua lokasi itu ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, sebab pembatalan ceramah berkenaan tidak diberitahu.

Sebelum itu, kuliah Maghrib perdana penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong di Shah Alam pada 26 Februari lalu turut dibatalkan.

Pengendali laman Facebook UIA pula memaklumkan, ceramah tersebut terpaksa dibatalkan atas arahan JAIS.

JAIS kemudiannya mengesahkan UAI tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Merujuk perkara itu, Abdul Aziz menjelaskan, hasil semakan pihaknya mendapati kedua-dua penceramah terbabit tidak mempunyai tauliah untuk mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Senarai penceramah berkelayakan di Selangor boleh disemak melalui http://tauliah.jais.gov.my/list/listpemohon.