DUN Pulau Pinang terima usul Sanusi minta maaf terhadap rakyat

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Satu usul tanpa beritahu berhubung ucapan provokasi yang bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang meragui kedaulatan negeri Pulau Pinang dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Selasa.

Usul tersebut dibuat oleh Lim Guan Eng (DAP- Air Putih) yang menegaskan bahawa kedaulatan Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.

Dalam pembentangan usul itu juga, Guan Eng mencadangkan kerajaan negeri berikrar untuk bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan ataupun diceroboh oleh Muhammad Sanusi.

"Saya mencadangkan agar kerajaan negeri melahirkan rasa kesal dengan ucapan Menteri Besar Kedah yang dibuat tanpa provokasi terhadap kedaulatan negeri Pulau Pinang dan juga mempertikaikan malah menghina keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan secara tidak langsung kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong melantik Tuan Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang.

"Saya juga mencadangkan agar kerajaan negeri mendesak Menteri Besar Kedah menarik balik ucapan beliau dan meminta maaf kepada rakyat Pulau Pinang secara khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya kerana tidak bersifat kejiranan mesra dengan Pulau Pinang dan juga menghina keabsahan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang yang tular di dalam media sosial.

Usul tanpa pemberitahuan itu kemudiannya diterima sebulat suara selepas dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Mohd Yusni Mat Piah (Penaga Pas), Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir); M Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sungai Dua).

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam perbahasannya berkata, Kerajaan Pulau Pinang memandang serius kenyataan dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi itu.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, sekiranya tidak berhati-hati dengan ucapannya, Muhammad Sanusi boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana ia menimbulkan perasaan ’kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.

Menurutnya, perkara ini adalah memerlukan Kerajaan Negeri Kedah membawa persoalan berkaitan ke mahkamah, kerana ia bukan semata-mata terhadap Kerajaan Pulau Pinang, malah secara tidak langsung mempersoalkan kedudukan Yang Dipertuan Agong sebagai ’penjaga’ kepada negeri-negeri yang tidak beraja.

"Perkara ini merupakan satu persoalan undang-undang yang serius yang mana Menteri Besar Kedah dipelawa untuk memperkukuhkan kenyataan beliau daripada aspek perundangan di mahkamah, iaitu forum yang lebih sesuai bagi membolehkan kedua-dua kerajaan negeri diberi peluang menghuraikan kedudukan undang-undang yang lebih jelas berhubung perkara berkaitan.

"Selain itu, adalah tidak wajar sebuah buku yang ditulis oleh sejarahwan, R Bonney iaitu ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’ digunakan sebagai bukti kukuh bagi merendahkan atau mengatasi Perlembagaan Persekutuan yang telah mengemukakan kedudukan undang-undang berkaitan kedaulatan negeri Kedah dan Pulau Pinang," kata Kon Yeow lagi.

Menurutnya, dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan pada 1957, suatu perundangan yang tidak dapat dinafikan ialah kedudukan Pulau Pinang sebagai suatu negeri yang ada kedaulatannya diperkukuhkan.

“Sebagai tambahan, Perkara 88 Perlembagaan Persekutuan juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang menguatkuasakan hak dan kedaulatannya seperti negeri-negeri lain bagi maksud kawalan ke atas tanah negeri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

Dakwa Menteri Besar Kedah berkenaan, fakta itu adalah berdasarkan sejarah, justeru Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.