Kenyataan Presiden Pas berbaur ugutan - Noor Hariri

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbaur ugutan.

Beliau berkata, kenyataan itu dibimbangi boleh menggugat keharmonian negara dan melawan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan kali ini lebih mementingkan perkhidmatan kepada rakyat berbanding bertukar kuasa secara 'melompat'.

"Ini amalan dan juga contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh pembangkang dari Perikatan Nasional (PN).

"Rakyat menilai bahawasanya PN hanya berpolitik 24 jam semata-mata dan bukannya ikhlas hendak menjaga rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, sikap yang ditunjukkan oleh Presiden Pas itu merupakan sesuatu merugikan rakyat.

Ujarnya, pemimpin PN sepatutnya mengambil apa yang berlaku sebelum ini sebagai ibrah apabila kerajaan tidak stabil pada 2020 sehingga 2022 lalu merugikan negara selain menjadi bahan 'jenaka' di pentas antarabangsa.

"Pada saya ia tidak lebih daripada hendak mengalih isu rasuah berbilion ringgit oleh pimpinan PN yang terbongkar satu persatu.

"Mereka mula risau sokongan rakyat mula terhakis akibat daripada sikap gelojoh parti PN ini mengumpul dana tidak kira sumber halal atau haram, waima menggunakan duit judi sekalipun," katanya.

Noor Hariri menambah, semua ahli politik PN sepatutnya pulang ke kawasan masing-masing dan berkhidmat sebaik mungkin setelah menerima mandat daripada rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Dalam perkembangan lain, katanya, Anwar perlu belajar daripada kesilapan Perdana Menteri Kelapan sebelumnya yang gagal menjaga kestabilan politik antara parti.

"Jika dilihat daripada 'prestasi', Kerajaan Perpaduan kali ini lebih kukuh kerana lebih melihat faktor penyatuan antara parti berbanding kerajaan PN dahulu yang lebih meletakkan kepentingan diri pimpinan mereka," katanya.


Kenyataan Abdul Hadi boleh jejaskan pertumbuhan ekonomi negara

Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Kelantan bimbang kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dalam masa terdekat’ boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustaqim berkata, kenyataan itu boleh mempengaruhi keputusan pelabur asing untuk terus menanam modal di negara ini.

"Pada masa yang sama, kita menyeru rakyat agar jangan termakan dengan propaganda pembangkang.

"Sebaliknya, fokus menyokong usaha keras Kerajaan Perpaduan dalam memulihkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan kerajaan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ujarnya, bukan itu sahaja Perdana Menteri turut mendapat sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat.

"Inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini ialah untuk memperbaiki kerosakan negara sekali gus membantu kehidupan rakyat.

"Keyakinan pelabur asing yang merudum di zaman Perikatan Nasional (PN) ternyata dapat dikembalikan dengan bertambahnya syarikat multinasional yang mula melabur di Malaysia," katanya.