Jualan Rahmah bantu isi rumah jimat sehingga RM100 sebulan

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bermula 11 Januari lepas membantu pengguna kelompok B40 dan miskin tegar berjimat hingga RM100 sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu juga mendapat sokongan dan dukungan daripada pasar raya terkemuka seperti Mydin, 99 Speedmart, Lotus dan AEON Big.

"Kajian mendapati 20 barangan asas terutama kepada golongan B40 dan miskin tegar yang dibeli melalui Jualan Rahmah di pasar raya ini, pengguna dapat berjimat daripada RM20 hingga RM24 sekali berbelanja.

"Maknanya, kalau isi rumah itu berbelanja untuk keperluan keluarga sebanyak lima kali sebulan, bermakna dia dapat berjimat hampir RM100 sebulan,” katanya ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kee Chin dalam soalannya ingin tahu secara terperinci bagaimana Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Januari lepas dilaksanakan dan adakah inisiatif itu mendapat sambutan daripada pasar raya atau kedai di seluruh negara dan keberkesanan inisiatif berkenaan dalam mengurangkan kos sara hidup setakat ini.

Salahuddin berkata, inisiatif Jualan Rahmah bukan sahaja membawa faedah kepada pengguna malah memberikan pulangan kepada pasar raya yang terlibat dengan usaha tersebut.

"Sebagai contoh pada akhir Februari, Econsave telah mengumumkan kesan daripada Jualan Rahmah ini mereka telah menawarkan 1,000 barang dengan potongan (harga) daripada tiga peratus hingga 30 peratus dan Econsave memaklumkan mereka dapat menambah 30 peratus jualan mereka.

"Ini membuktikan bahawa ia juga memberikan pulangan kepada pasar raya yang terlibat dalam usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Bila mereka mengadakan Jualan Rahmah ini, jumlah yang datang itu bertambah dan syarikat mendapat keuntungan dan rakyat mendapat harga yang murah,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, peruntukan RM100 juta daripada Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan diguna untuk mengadakan Jualan Rahmah di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

"Jualan Rahmah ini kita boleh adakan di semua kawasan Parlimen sebanyak empat kali seminggu. Apa yang penting adalah setiap kawasan Parlimen itu akan mendapat peruntukan lebih kurang RM8,662 seminggu,” katanya. - Bernama