Nafuzi mohon maaf, akui gagal kawal emosi

Nafuzi dilayangkan kad merah pada minit ke-70 pada aksi ketiga Liga Super 2023 semasa KDA FC menentang PDRM FC pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
Nafuzi dilayangkan kad merah pada minit ke-70 pada aksi ketiga Liga Super 2023 semasa KDA FC menentang PDRM FC pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain memohon maaf kepada penyokong pasukan itu atas layangan kad merah sebelum Sang Kenari tewas 0-1 kepada PDRM FC pada aksi ketiga Liga Super 2023.

Menurutnya, perlawanan yang tegang di dalam padang juga menyebabkan dirinya gagal mengawal emosi dan perkara tersebut berlaku kali pertama sepanjang beliau mengendalikan pasukan dalam saingan liga super.

"Saya pun minta maaf kerana terlalu mengikut emosi, sepatutnya tidak berlaku. Ini pengalaman baik, pengajaran untuk saya juga (dalam mengawal) emosi. Kali pertama terjadi kepada saya, jadi secara tidak disedari.

"Biasanya saya tenang sahaja tapi tiba-tiba mungkin malam itu beremosi. Saya juga manusia biasa, kesilapan saya dan janji tak akan berlaku lagi," katanya mengulas kejadian dilayang kad merah selepas didakwa 'mengasari' pengadil keempat pada malam Sabtu.

Pada perlawanan itu, pengadil Mohd Azizan Saat Ariffin telah melayangkan kad merah kepada kapten KDA FC, Manuel Ott pada minit ke-59 kerana dilihat mengasari pemain lawan.

Situasi semakin memberikan tekanan kepada Sang Kenari apabila Nafuzi pula dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana dipercayai mengganggu tugas pengadil perlawanan.

Dua keputusan itu dipercayai menjadi sebab moral pemain KDA FC terganggu dan gawang mereka akhirnya bolos pada minit ke-74 menerusi jaringan penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki.

Tamat perlawanan, hampir 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di hadapan pintu utama Stadium Darul Aman menunjukkan rasa tidak puas hati atas keputusan dilakukan oleh Mohd Azizan.

Jelas Nafuzi, penting buat Sang Kenari untuk bangkit kembali pada pusingan pertama Piala FA 2023 bertemu Penang FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.