Empat kerusi dikosongkan akan diisi ADUN angkat - Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Empat kerusi yang dikosongkan selepas usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diluluskan akan diisi oleh ADUN angkat dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ADUN angkat tersebut adalah terdiri daripada ADUN sedia ada dalam menguruskan keempat-empat kawasan berkenaan.

Menurutnya, keempat-empat ADUN angkat tersebut akan menguruskan kawasan berkenaan sehingga pembubaran DUN dibuat sebelum pilihan raya negeri dijalankan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan keempat-empat nama ADUN angkat tersebut.

"Susulan pengosongan kerusi di empat DUN yang dibuat semalam (Isnin), kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk membolehkan pelantikan ADUN angkat yang terdiri daripada beberapa ADUN sendiri.

"Pelantikan ini bagi membolehkan ADUN angkat ini menguruskan kawasan berkenaan agar rakyat dan pengundi di situ tidak berasa terpinggir daripada kekosongan ini malah, dapat pembelaan dan dijaga dengan baik oleh kerajaan negeri melalui penyaluran peruntukan-peruntukan yang sama yang diberikan kepada ADUN di kawasan masing-masing," katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap pengosongan kerusi di empat DUN yang diluluskan pada Isnin.

Sebelum itu, usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat ADUN Parti Bersatu telah diluluskan oleh DUN Pulau Pinang yang diadakan pada Isnin.

Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu iaitu Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) dan M Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Mohd Yusni Mat Piah (Pas- Penaga).

Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.