Usul kosongkan kerusi lulus, 4 ADUN Bersatu diarah keluar dewan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
A
A
A

GEOREGTOWN - Usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan pada Isnin.

Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Daruk Law Choo Kiang.

Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu iaitu Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) dan M Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Mohd Yusni Mat Piah (Pas- Penaga).

Sesi Dewan sepatutnya bermula dengan sesi soalan lisan namun didahulukan dengan usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang kerana menurut Choo Kiang, Dewan mengambil kira kepentingan usul tersebut yang berkaitan dengan Perlembagaan Pulau Pinang selain keputusan mahkamah berhubung enakmen anti lompat parti yang dibuat pada 2 Mac lalu.

Ahmad Zakiyuddin ketika membentangkan usul tersebut berkata, Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyatakan bahawa seseorang ADUN perlu mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

"Mengikut Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Pulau Pinang, ia terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Parti Bersatu (ketika Pilihan Raya Umum ke-14) yang bertanding atas tiket logo PKR dan mendapat merit daripada Presiden PKR.

"Sementara itu, ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula telah dipecat daripada parti PKR.

"Jika usul pengisytiharan ini diluluskan, Speaker DUN Pulau Pinang perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan keempat-empat kerusi tersebut," katanya.

Ketika perbahasan usul tersebut, Dewan menjadi kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara keempat-empat ADUN berkenaan dengan beberapa ADUN Kerajaan Pulau Pinang, malah Afif telah ditegur Choo Kiang kerana didapati sedang merakam video di di dalam Dewan menggunakan telefon bimbit.

Afif kemudiannya memberi alasan bahawa rakaman tersebut adalah untuk simpanan peribadi.

Dalam pada itu, Khaliq Mehtab dalam perbahasannya berkata, beliau tidak pernah melompat atau menukar parti malah menegaskan bahawa beliau merupakan ahli seumur hidup Bersatu.

Empat ADUN tersebut keluar dari Dewan setelah usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang diluluskan DUN Pulau Pinang.
Empat ADUN tersebut keluar dari Dewan setelah usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang diluluskan DUN Pulau Pinang.

Menurutnya, tiga senario melompat parti seperti disebut dalam pindaan Perlembagaan negeri itu iaitu melompat parti; dipecat daripada parti dan mengisytihar diri sebagai wakil rakyat Bebas.

"Oleh itu, perkara itu tidak berlaku terhadap saya serta Teluk Bahang sehingga perlu mengosongkan kerusi DUN masing-masing. Usul yang dibuat ini jelas menunjukkan demokrasi di Pulau Pinang ini telah mati.

"Kami dipilih oleh rakyat dan usul yang diluluskan ini jelas menunjukkan pengkhianatan kepada mandat rakyat kerana kami dipilih untuk membawa suara rakyat di kawasan masing-masing. Bagaimanapun, tidak mengapa, kami akan kembali dengan lebih kuat lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Afif bertekad untuk terus berjuang dalam membawa suara rakyat walaupun usul untuk pengosongan empat kerusi di DUN Pulau Pinang telah diluluskan.

Afif berkata, tindakan meluluskan usul tersebut dibuat dengan tidak adil dan disifatkan sebagai politik balas dendam.

Menurut Afif, pemilihan mereka adalah dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu dan bukannya dipilih oleh DUN Pulau Pinang.

"Seperti yang saya cakapkan sebelum ini, ketika diwartakan pada 2012, di peringkat Pusat sudah ada keputusan bahawa akta lompat parti dikira tidak berperlembagaan (ketika itu).

"Dan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipinda ketika itu (2012) tetapi kerajaan negeri memilih untuk meluluskan sahaja di peringkat DUN," katanya.

Dalam pada itu, ketika berbahas mempertahankan usul itu, Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) berkata, keempat-empat ADUN berkenaan sepatutnya meletakkan jawatan ADUN lebih awal tanpa perlu menunggu usul mengenainya dibentangkan dalam Sidang DUN pada Isnin.

Ini kerana, jelas beliau, mereka boleh dianggap telah memilih keluar daripada parti memandangkan pada PRU-14, mereka memilih bertanding dan menang atas atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menggunakan logo PKR.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka.

Keempat-empat wakil rakyat itu telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Dua minggu selepas itu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.