Kanak-kanak lelaki lapan tahun lemas di Pantai Kemayang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BACHOK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas selepas mandi dekat benteng batu di Pantai Kemayang di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa Muhammad Iman Mikail Muhammad Sabri dipercayai datang ke pantai itu bersama bapa saudara dan ibu saudaranya.

"Ketika mangsa sedang mandi bersama bapa saudaranya, ombak yang terlalu kuat telah menyebabkan mangsa dibawa arus hingga ke tengah laut.

Bagaimanapun, seorang anggota bomba Ahmed Mazdan Jusoh yang kebetulan berada di lokasi kejadian telah terjun ke laut untuk menarik Muhammad Iman apabila jasad kanak-kanak itu menghampiri benteng batu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor di sini dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, turut ditemukan lemas tengah hari tadi selepas dihanyutkan ombak besar di pantai ini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail berkata susulan daripada dua kejadian itu, pihaknya telah mencadangkan kepada Pejabat Tanah dan Majlis Daerah Bachok untuk meletakkan papan tanda larangan mandi di kawasan berkenaan.

Katanya, cadangan tersebut telah dipersetujui oleh ketua jajahan serta tindakan segera akan diambil selain lawatan tapak juga akan dibuat esok bersama ketua jajahan serta Setiausaha Majlis Daerah Bachok.

"Kita juga ingin menasihatkan kepada orang ramai terutamanya kepada ibu bapa serta penjaga agar mengambil langkah berwaspada ketika mengunjungi pantai terutamanya ketika musim ini," katanya. - Bernama