Banjir: Tujuh masjid dijadikan PPS

Mohd Fared melihat keadaan Masjid Jamek Sri Medan yang dinaiki air pada petang Isnin.
Mohd Fared melihat keadaan Masjid Jamek Sri Medan yang dinaiki air pada petang Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Seramai 1,024 mangsa daripada 213 keluarga terjejas banjir ditempatkan di tujuh buah masjid di negeri ini yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, masjid yang dijadikan PPS itu terletak di Parit Yaani, Sri Medan dan Semerah di Batu Pahat.

"Dua masjid di Sri Medan terpaksa ditutup selepas air banjir mula memasuki kawasan masjid petang Isnin.

"Kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan telah pun dipindahkan ke beberapa tempat di kawasan Pekan Sri Medan," katanya selepas membuat tinjauan di sekitar Sri Medan pada Isnin.

Mohd Fared turut mencadangkan agar masjid dapat diwartakan sebagai PPS pada masa akan datang bagi memudahkan pengurusan mangsa sekiranya penempatan sementara mangsa penuh.

"Sewaktu tinjauan dilakukan, banyak rumah di kampung berdekatan Pekan Sri Medan ditenggelami air menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.

"Oleh itu, penduduk dinasihatkan berhati-hati dan berpindah segera ke PPS demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.