Dua inisiatif baharu atasi kesesakan Tambak Johor

Fadillah Yusof - Foto Bernama
Fadillah Yusof - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM64.28 juta bagi melaksanakan dua inisiatif baharu dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif tersebut melibatkan penggabungan dewan merangkumi naik taraf dan pembinaan projek baharu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor serta Pelan Komunikasi Strategik.

Jelasnya, penggabungan dewan penumpang bas KSAB dianggarkan berjumlah RM25 juta, menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Lori Masuk dan Bay Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (RM30.65 juta) serta membina satu unit tandas masing-masing di terminal bas eksport, terminal bas import, kompleks lori import dan kompleks lori eksport (RM8.63 juta).

Selain itu jelasnya, sebanyak RM3.83 juta diperuntukkan bagi Pelan Komunikasi Strategik.

"Mesyuarat pada hari ini bertujuan untuk meneliti pelaksanaan 21 inisiatif sedia ada di kedua-dua Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB di Johor.

"Pelaksanaan 13 daripada 21 inisiatif sedia ada juga telah siap sepenuhnya dengan lima inisiatif sedang dalam pelaksanaan yang dijangka siap pada bulan Jun ini.

"Baki tiga inisiatif yang belum dilaksanakan pula dijangka bermula Oktober depan dengan jangkaan siap pada Disember 2024," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kesesakan Di Tambak Johor berkata, kajian semula perjawatan perlu dibuat bagi mengimbangi beban tugas pegawai dengan trend peningkatan pengembara.

Beliau menjelaskan, jumlah pengembara dijangka akan mencapai 156.62 juta orang dengan peningkatan sebanyak 17.2 peratus pada tahun 2025.

Selain itu jelasnya, Jawatankuasa Khas turut bersetuju dengan cadangan mewujudkan 'Single Entry Point' di Sempadan Malaysia dan Singapura dengan cadangan tersebut akan diperhalusi oleh Kementerian Dalam Negeri bersama kementerian dan agensi berkaitan sebelum diangkat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kerajaan sentiasa akan memastikan kerjasama dan usaha bersepadu yang berterusan dengan semua pihak terlibat dan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan penambahbaikan bagi menangani isu kesesakan.

"Kerjasama ini bagi mencapai matlamat untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat tanpa mengenepikan faktor keselamatan yang menjadi keutamaan selaras dengan kerangka Dasar Madani yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat," katanya.