Mentega Terbang: Tiada rekod penapisan LPF

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendapati filem kontroversi 'Mentega Terbang' tiada dalam rekod penapisan selain ditayangkan secara dalam talian.

LPF dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan pihaknya melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan atau diedarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia kecuali melalui internet.

Justeru, tayangan atau penstriman filem berkenaan adalah di luar bidang kuasa LPF.

"LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk Mentega Terbang yang telah mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah ulasan awam bagi filem itu tular menerusi media sosial pada masa

kini.

"Berdasarkan semakan didapati bahawa filem tersebut tiada dalam rekod penapisan LPF. Filem itu juga didapati ditayangkan secara dalam talian melalui platform internet.

"Bagaimanapun, LPF sentiasa peka dan komited dalam memastikan unsur-unsur negatif termasuk elemen yang bertentangan dengan akidah dalam filem dapat dicegah daripada disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan atau diedarkan secara konvensional kepada masyarakat umum di Malaysia," katanya.

Menurut LPF, pihaknya kini sedang meneliti semua aspek berkaitan secara menyeluruh sebelum tindakan selanjutnya diambil berhubung dengan filem tersebut.

"Sehubungan itu, memandangkan tiada kelulusan LPF yang dikeluarkan ke atas filem Mentega Terbang untuk tujuan tayangan umum maka sekiranya masyarakat awam mendapati filem tersebut ditayangkan secara konvensional di mana-mana premis boleh membuat aduan.

"Aduan itu boleh disalurkan kepada Pejabat Penapisan Filem, KDN melalui e-mel ppf@moha.gov.my atau Sistem Pengurusan Aduan Awam KDN di pautan https://moha.spab.gov.my/eApps/system/index.do," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platfrom penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam, berikutan karya itu didakwa memaparkan adegan dengan unsur-unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.