'Pulangkan kerusi Pemuda di Dewan Rakyat'

Mohd Shahar
Mohd Shahar
A
A
A

KUALA LUMPUR- Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mohd Shahar Abdullah mahu perwakilan memberikannya peluang untuk menerajui sayap parti itu, sekali gus membawa suara Pemuda di Dewan Rakyat.

Menurutnya, Pemuda UMNO perlukan seorang ahli Parlimen sebagai ketua untuk mengangkat suara mereka.

“Sudah lama kita tiada Ketua Pemuda UMNO di Parlimen iaitu sejak 2018. Jika dibandingkan dengan pasca PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), Ketua Pemuda PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Pas, semua ada tapi UMNO tiada.

“Apabila melihat ada ruang untuk diberikan mandat memimpin, saya menawarkan diri atas kapasiti yang ada, termasuk pengalaman dua penggal menjadi ahli Parlimen. Saya juga melepasi garis masa PRU14 dan PRU15 tatkala ramai yang kalah.

“Untuk mengembalikan kerusi Ketua Pemuda UMNO dalam Parlimen, saya antara tiga Pemuda yang menang PRU15 selain Ahli Parlimen Tenggara, Kalabakan dan Paya Besar. Mereka nampak saya ada kelebihan sebab senior berbanding mereka berdua.

"Bayangkan isu bankrap anak muda, isu anak muda yang berada di Kuala Lumpur tak sama di Jerantut atau kawasan pedalaman seperti Pensiangan (Sabah). Sudah pasti isu itu bukan dibincang pada peringkat negeri tetapi kita angkat dalam Parlimen," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain Mohd Shahar, tiga calon lain yang bertanding jawatan nombor satu sayap pergerakan pemuda parti itu ialah Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Sementara itu, ditanya sama ada mempunyai cai atau pasukan dalam Pemilihan UMNO kali ini, Ahli Parlimen Paya Besar menegaskan, beliau terbuka dan tidak mempunyai cai.

“Saya tiada ‘cai’ sebab bagi saya, semua calon naib ketua dan exco, saya boleh bekerja dengan mereka. Kalau boleh terima semua 113 orang calon itu, saya ambil semua sebab semuanya nak berkhidmat.

“Tiada seorang pun yang berkempen nak menghancurkan parti. Semua nak mengembalikan kepercayaan rakyat, nak berkhidmat dan bekerja bersungguh-sungguh untuk parti.

“Tapi, nak buat macam mana? Kita kena pilih seorang sahaja naib ketua dan 10 exco, jadi persaingan itu sihat,” jelasnya.