Lantikan ahli DAP 'setahun jagung' jadi Senator dipersoal

Ahli akar umbi DAP dari 25 cawangan di Perai mengadakan bantahan aman di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Rangoon pada Isnin.
Ahli akar umbi DAP dari 25 cawangan di Perai mengadakan bantahan aman di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Rangoon pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Kepimpinan DAP Pusat didakwa tidak menghormati akar umbi apabila mencalonkan individu yang 'setahun jagung' dalam parti untuk dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.

Kekesalan itu disuarakan ahli akar umbi dari 25 cawangan DAP di sekitar kawasan Perai apabila mereka mengetahui nama pengarah sebuah hospital di negeri ini dicalonkan untuk jawatan Senator sedangkan individu terbabit baharu menjadi ahli parti sejak dua bulan lalu.

Jurucakap kumpulan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Kriubanantha dari DAP Cawangan Flat Teluk Indah berkata, individu terbabit merupakan anak kepada bekas Timbalan Presiden MIC malah tidak mempunyai apa jasa kepada parti namun mahu diangkat oleh DAP sebagai Senator.

Menurutnya, ramai lagi pimpinan DAP yang berkebolehan dan layak untuk mengisi jawatan terbabit termasuk di kalangan ahli India yang lain termasuk mereka yang sudah berpuluh tahun berjuang untuk parti.

"Adakah DAP sudah tiada ahli yang berkebolehan ataupun semua ahli yang sedia ada tidak layak untuk dilantik untuk jawatan penting seperti ini?

"Kenapa ahli-ahli yang bertahun bekerja untuk parti tidak dipertimbangkan tetapi seorang ini 'dipayung terjunkan' secara tiba-tiba," katanya ketika mengadakan bantahan aman di hadapan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Kriubanantha berkata, ahli akar umbi yang selama ini bekerja keras untuk parti amat kesal dengan keputusan pimpinan itu dan merasakan dipinggirkan apabila nama individu yang asing bagi mereka dicalonkan untuk jawatan terbabit.

Beliau turut mempersoalkan siapakah pemimpin DAP yang mencalonkan nama dan mahu melantik individu calon payung terjun berkenaan sehingga nama individu yang layak diketepikan.

"Adakah ahli-ahli DAP sedia ada begitu hina dan rendah martabat kami di mata pemimpin DAP? Inikah penghormatan yang diberikan oleh parti DAP kepada ahli-ahli akar umbi?

"Kami ahli akar umbi bukan sahaja kecewa, tetapi malu dengan keputusan pimpinan DAP ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, nama Pengarah Hospital Sungai Bakap, Lingeshwaran R Arunasalam dicalonkan untuk dilantik jawatan Ahli Dewan Rakyat yang mana keputusan itu dikatakan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada Jumaat lalu.

Selain itu, dua nama lain yang disenaraikan ialah Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel dan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Harvindar Singh.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, senarai nama yang disenarai pendek untuk mengisi jawatan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Selasa ini.

Katanya, calon yang terpilih akan mengisi kerusi Ahli Dewan Rakyat yang ditinggalkan oleh dua bekas senator selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Dua bekas senator itu ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.