Pengeboman di Sri Lanka perlu dibanteras hingga ke akar umbi

A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan pengecut yang menyasarkan orang awam dan rumah ibadah dalam insiden keganasan di Sri Lanka ketika penganut Kristian menyambut perayaan Easter semalam perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kegagalan dunia bertindak pantas membanteras keganasan dibimbangi akan menyuburkan kumpulan radikal yang akan melakukan tindak balas yang serupa.

“Natijahnya akan lebih memburukkan keamanan dunia dan merosakkan ekonomi yang akan memberi kesan kepada masyarakat.

“Dunia perlu segera bangkit. Mengutuk tragedi ini sahaja sudah tidak mencukupi. Para pemimpin dunia perlu bertindak dengan lebih kuat untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata tiada agama termasuk Islam yang membenarkan tindakan zalim itu daripada berlaku walau siapa pun pelakunya atau apa pun motif pembunuhan itu dilakukan.

Katanya Amanah mengutuk sekeras-kerasnya dan menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap tragedi hitam yang mengorbankan kira-kira 290 nyawa serta mencederakan ramai pengunjung berkenaan.

“Dalam tempoh terdekat, selepas insiden pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, ini merupakan tindakan keganasan berulang yang menjadikan rumah ibadah dan orang awam sebagai sasaran.

“Bagi pihak Amanah, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan kesedihan bersama rakyat Malaysia terhadap warga Sri Lanka,” katanya.

Beliau berkata tiada ruang dan peluang untuk keganasan di atas nama agama berlaku di atas muka bumi ini dan setiap nyawa adalah berharga serta berhak dipelihara seperti yang dituntut dalam ajaran Islam dan agama-agama yang lain.

Siri letupan yang menggegarkan beberapa lokasi di Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.-Bernama