Campur tangan dalam keputusan RoS calarkan imej kerajaan

Campur tangan dalam keputusan RoS berhubung pemilihan UMNO boleh mencalarkan imej kerajaan. (Gambar kecil: Aizat Fikri)
Campur tangan dalam keputusan RoS berhubung pemilihan UMNO boleh mencalarkan imej kerajaan. (Gambar kecil: Aizat Fikri)
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri perlu memandang serius berkenaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul tambahan UMNO iaitu tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang didakwa melibatkan campur tangan politik.

Ahli UMNO Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir Fikri berkata, ini kerana, perkara tersebut boleh mencalarkan kredibiliti kepimpinan kerajaan yang diterajui Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, hal tersebut juga boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem dan agensi penguatkuasa kerajaan.

“Sejujurnya saya agak kecewa dengan tindakan ini memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini yang dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’, telah menggunakan kuasa bagi memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan sebagaimana yang sepatutnya dijalankan melalui proses demokrasi.

“Saya akan berbincang dengan rakan saya dan juga peguam kami bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima RoS.

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa ROS telah menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

Tambah Aizat Fikri, melalui pengecualian yang telah diberikan itu, ia dilihat boleh disalahgunakan untuk membetulkan segala ketidakaturan yang telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan di bawah akta tersebut.

“Secara tidak langsung, pengecualian ini telah mengesahkan ketidakaturan yang sememangnya wujud di dalam proses mengangkat usul tambahan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, secara logiknya, jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(4), makanya Seksyen 70 tidak perlu digunapakai oleh KDN.

“Pihak RoS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku,” katanya.