MSDeaf rayu pembelaan bangunkan sukan orang pekak

Shin Ruenn (dua dari kiri) bersama atlet bola sepak orang pekak Malaysia. - Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia.
Shin Ruenn (dua dari kiri) bersama atlet bola sepak orang pekak Malaysia. - Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia.
A
A
A

PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mahu nasib golongan orang pekak di negara ini diberikan perhatian sewajarnya terutama apabila membabitkan penyertaan dalam bidang sukan sama ada di peringkat kebangsaan, ASEAN, Asia Pasifik dan dunia.

Presidennya, Ong Shin Ruenn berkata, MSDeaf sentiasa memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak seperti tajaan dan kem latihan pusat bagi melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

Menurutnya, selama ini MSDeaf telah membuktikan kemampuannya apabila orang pekak berjaya mengukir nama Malaysia di peringkat dunia seperti olahraga, taekwando, badminton, boling dan beberapa acara lain.

“Tahun ini pula kita akan jadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali keempat yang akan berlangsung September depan.

“MSDeaf dalam persiapan rapi untuk menyambut 24 pasukan bola sepak lelaki dan 10 pasukan wanita dari luar negara.

“Sebab itu kami memerlukan sokongan, bantuan dan tajaan semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Persatuan orang pekak dunia dan komuniti orang pekak dunia sedang memerhatikan kemampuan Malaysia menganjurkan acara terbesar ini, sebab itu kita sedang sedaya upaya menjadikan ia satu realiti,” katanya.

Shin Ruenn turut mengakui bahawa tidak banyak pihak berminat membantu MSDeaf, malah pada masa sama sering kali kejayaan atlet-atlet pekak juga kurang mendapat penghargaan atau publisiti sepatutnya.

Beliau berkata, golongan orang pekak di negara ini juga dirasakan kurang mendapat pembelaan yang setaraf dengan orang kelainan upaya (OKU) yang lain.

“Saya merayu agar kementerian berkenaan dan MSN sentiasalah mendengar keluhan dan hati nurani MSDeaf.

“Sering kali MSDeaf merasakan apabila tiada pembelaan sewajarnya untuk atlet orang pekak seolah-olah mereka (orang pekak) selama ini dikategorikan sebagai ‘kelas ketiga’ berbanding atlet normal dan OKU lain,” katanya.

Sebagai makluman, setakat ini dianggarkan lebih 50,000 orang pekak telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di negara ini.