Surat RoS terima usul tambahan akan didedahkan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

ALOR SETAR - Surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menerima usul tambahan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi UMNO akan didedahkan bagi menghentikan segala isu yang timbul berkaitannya sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, pendedahan surat itu bakal mengukuhkan lagi peranan Perhimpunan Agung UMNO sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan parti tersebut.

"Saya akan minta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerbitkan salinan diperolehi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), surat yang dikeluarkan RoS kepada pihak peguam," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir pada Majlis Pengenalan Calon-Calon, Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk Exco Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di Bangunan Tunku, Alor Setar.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kata Ahmad Zahid, surat tersebut akan menjadi penamat kepada isu tersebut dan mereka juga telah mematuhi peraturan dan perlembagaan sepenuhnya bagi memberi kelulusan dalam pembentangan yang dibuat.

"Ini akan menjadi tanda penamat (kepada konflik yang berlaku), kita akan tutup buku isu mengenainya selepas ini," ujar beliau lagi.