APM dari sembilan negeri bantu mangsa banjir di Johor

Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan ke-13 2022 dilakukan oleh Armizan (dua dari kiri).
Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan ke-13 2022 dilakukan oleh Armizan (dua dari kiri).
A
A
A

BACHOK - Anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari sembilan negeri digerakkan bagi misi membantu Johor yang dilanda bencana banjir sejak minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, situasi banjir di negeri itu agak serius menyebabkan APM turut memberi bantuan dari segi aset dan logistik supaya dapat membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya, kesemua petugas tersebut ditempatkan di tiga daerah terjejas iaitu Muar, Batu Pahat dan Segamat.

“Setakat ini, sejumlah 180 pegawai dan anggota APM dari negeri-negeri terlibat iaitu Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang dihantar ke negeri itu.

“Aset logistik yang disediakan pula melibatkan enam unit lori, 12 pacuan empat roda, 14 bot, satu set jana kuasa dan 23 jaket keselamatan diberikan untuk penugasan menyelamat mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan ke-13 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 902 pegawai kadet Sispa daripada Kor Sispa Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pengajian Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam.

Menurut beliau, Monsun Timur Laut (MTL) bagi 2022/2023 yang sedang berlaku mengalami peningkatan drastik dengan 183,454 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini berbanding 181,907 mangsa pada 2021/2022.

Armizan bagaimanapun memuji mangsa banjir yang bertindak awal untuk menyelamatkan diri dengan berpindah ke PPS tanpa menunggu arahan daripada pihak berkuasa.

“Saya juga difahamkan mangsa banjir Johor meningkat mendadak menerusi rekod mencecah 45,000 individu ditempatkan di PPS di negeri itu.

“Amaran bencana negara diaktifkan sepanjang masa untuk tindakan segera bagi memastikan kelengkapan tambahan contohnya pembelian makanan, selimut dan tilam kepada mangsa banjir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah, pembabitan belia Kor Sispa daripada IPT dan IPG bertujuan memperkasakan peranan orang awam sebagai sukarelawan yang menjadi responden pertama serta terlatih bagi menghadapi ancaman bencana.