Sekatan royalti beri kesan terhadap hasil Terengganu

Sebelum ini, Azalina berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus berdasarkan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.
Sebelum ini, Azalina berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus berdasarkan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah terimaan bukan hasil kerajaan negeri Terengganu dijangka berkurangan antara 60 hingga 70 peratus sekiranya Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang juga dianggap sebagai royalti petroleum disekat daripada disalurkan ke negeri itu.

Pensyarah Ekonomi dan Penganalisis Teknikal, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zairihan Abdul Halim berkata, royalti hasil petroleum sebelum ini amat diperlukan oleh kerajaan negeri untuk mengekalkan momentum rangsangan aktiviti ekonomi melalui perbekalan dan perbelanjaan pembangunan negeri.

Jelas beliau, keperluan terhadap dana itu lebih mendesak pada tahun ini ekoran persekitaran ekonomi domestik yang dijangka terus mencabar kesan daripada beberapa faktor makroekonomi terutamanya kejutan penawaran makanan dan tenaga sumber asli.

"Pengiraan anggaran hasil kerajaan negeri Terengganu beberapa tahun lalu memberi gambaran jelas tentang kebergantungan kapasiti bajet negeri terhadap komponen Terimaan Bukan Hasil yang mana royalti petroleum menyumbang hampir 70 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil kerajaan negeri.

"Jika sekatan dana royalti petroleum atau DKKP dilaksanakan ke atas Terengganu, pengurangan 60 hingga 70 peratus daripada jumlah hasil kerajaan negeri akan pasti memberikan kesan berskala besar terhadap kedudukan fiskal kerajaan negeri dalam jangka pendek dan sederhana," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Ahad.

Beliau menjelaskan, perkongsian hasil sumber asli khususnya petroleum menjadi faktor perdebatan hangat dalam konteks hubungan politik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri pengeluar petroleum di Malaysia sejak dua dekad lepas.

"Sebagai pusat industri petroleum di semenanjung Malaysia, DKKP yang juga dianggap sebagai royalti dari hasil petroleum sebelum ini amat diperlukan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk mengekalkan momentum ransangan aktiviti ekonomi melalui perbekalan dan perbelanjaan pembangunan negeri.

"Kekangan belanjawan akan membatasi keupayaan kerajaan negeri dalam rangka menangani isu-isu sosioekonomi melalui perbelanjaan pembangunan sektor sosial dan ekonomi yang berpandukan kepada Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," katanya.

Berdasarkan rekod, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM600 juta pada tahun 2022 untuk perbelanjaan pembangunan dan anggaran saiz perbelanjaan itu berkurang kepada RM500 juta bagi tahun 2023.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus berdasarkan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Jelas beliau, Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dengan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

Namun, katanya, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata, Kerajaan Terengganu berharap, DKKP yang diterima daripada Kerajaan Pusat sebelum ini dapat diteruskan.

Katanya, isu mengenai peruntukan itu sama ada pembayaran DKKP atau wang royalti yang diterima kerajaan negeri akan dibincangkan semula dengan Kerajaan Pusat.