Pura-pura jadi penumpang sebelum samun pemandu teksi

Dua lelaki ditahan selepas melakukan samun terhadap pemandu teksi di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong, Pengerang, Kota Tinggi, pada Sabtu.
Dua lelaki ditahan selepas melakukan samun terhadap pemandu teksi di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong, Pengerang, Kota Tinggi, pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua lelaki berpura-pura menjadi penumpang sebelum melakukan samun terhadap seorang pemandu teksi dengan bersenjatakan pisau lipat di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong, Pengerang dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku jam 3.50 petang semasa dua suspek itu menaiki teksi dari Gelang Patah dan kononnya mahu dihantar ke Pengerang.

"Semasa tiba di tepi jalan berhampiran tokong berkenaan, suspek mengacukan pisau lipat di belakang pinggang mangsa. Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga dan kemudian melarikan diri ke kawasan semak berdekatan.

"Dalam kejadian tersebut, dua unit telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan jenama Casio dilarikan, keseluruhan nilai barang-barang berjumlah RM800," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, susulan itu mangsa yang berusia 70-an membuat laporan di Balai Polis Pengerang pada jam 4.53 petang.

Bertindak atas maklumat katanya, dalam tempoh tidak lebih empat jam selepas kejadian, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya melakukan tangkapan ke atas dua suspek berkenaan.

"Suspek yang berumur lingkungan 30-an ditahan di kawasan semak berhampiran tempat kejadian dan polis turut merampas semula barangan milik mangsa yang disamun.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kedua-dua suspek mendapati terdapat tatu berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorang suspek dan disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08," katanya.

Salah seorang suspek disyaki ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan tatu pada badan. (Gambar kanan) Pakaian, wang tunai dan barang yang dirampas daripada suspek.
Salah seorang suspek disyaki ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan tatu pada badan. (Gambar kanan) Pakaian, wang tunai dan barang yang dirampas daripada suspek.

Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Namun begitu ujarnya, semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati masing-masing memiliki rekod jenayah dan dadah termasuk seorang suspek masih dikehendaki membabitkan dua kes jenayah yang dilaporkan di Serendah pada 2022 dan Rawang pada 2010.

Katanya, kedua-dua saspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua duanya," katanya.