Chong Wei sedia bantu Tze Yong

Tze Yong (kiri) dan Chong Wei. - Foto: Bernama
Tze Yong (kiri) dan Chong Wei. - Foto: Bernama
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersedia untuk berkongsi pengalamannya bagi membantu Ng Tze Yong dan pemain perseorangan negara lain untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat pertama kalinya.

Pemenang tiga pingat perak Olimpik itu berkata, perkara itu pernah dilakukan selepas bangkit daripada kedudukan rangking ke-182 dunia ke nombor satu dunia sekali gus layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 hanya dalam masa 11 bulan.

“Saya tahu Tze Yong masih muda, namun Olimpik tidak akan tunggu dia, semua pemain impikan untuk bermain di Sukan Olimpik, sebab itu saya harap Tze Yong gunakan peluang itu tahun ini, dan memberi fokus sepenuhnya untuk melayakkan diri,” katanya pada majlis memperkenalkan patung lilin beliau yang akan dipaparkan di Muzium Madame Tussauds Hong Kong di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Chong Wei yang optimis Tze Yong mampu melakukannya berkata, pemain yang kini berkedudukan ke-28 dunia itu perlu mencabar dirinya dan bekerja keras dengan memfokuskan kepada kejohanan yang ada, bagi meletakkannya dalam kelompok ke-16 dunia.

“Ketika ini, kita berada dalam tempoh Olimpik dengan kelayakan ke temasya itu bermula Mei nanti. Sekiranya Tze Yong tidak berada dalam kelompok 16 terbaik, dia tidak boleh pergi ke Olimpik.

“Harapan saya adalah untuk dia layak ke Olimpik, walaupun sukar untuk dapatkan pingat, namun sekurang-kurangnya dia dapat rasakan tekanan di temasya itu,” katanya. - Bernama