Sekutu Marcos Jr maut ditembak

Degamo (kanan) pernah berkempen untuk Marcos Jr pada pemilihan tahun lalu. - Foto Agensi
Degamo (kanan) pernah berkempen untuk Marcos Jr pada pemilihan tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Seorang gabenor wilayah di tengah Filipina dan lima individu lain maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata pada Sabtu, sekali gus menjadi ahli politik terbaharu menjadi sasaran keganasan di negara itu.

Jurucakap polis mengesahkan enam suspek membawa senapang dan mengenakan pakaian seragam sama menyerbu masuk kediaman Roel Degamo di bandar Pamplona sebelum melancarkan serangan tembakan.

"Gabenor wilayah Negros Oriental tidak sepatutnya berdepan kematian tragis seperti ini," kata balunya, Janice Degamo yang juga memegang jawatan Datuk Bandar Pamplona menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook.

Difahamkan, ahli politik tersebut sedang mengagihkan bantuan ketika serangan itu berlaku.

Presiden Ferdinand Marcos Jr dalam satu kenyataan mengutuk pembunuhan ke atas sekutunya dan turut memberi amaran kepada pelaku supaya menyerah diri.

"Kerajaan saya tidak akan berdiam diri sehingga pihak bertanggungjawab melakukan jenayah keji ini diheret ke muka pengadilan," tegasnya.

Susulan insiden itu, polis kini memburu 10 suspek termasuk enam lelaki bersenjata yang melarikan diri dengan dua SUV dan sebuah trak pikap sebelum meninggalkan kesemua kenderaan tersebut di bandar berhampiran.

Degamo, 56, adalah ahli politik ketiga yang menjadi sasaran tembakan sejak pilihan raya tempatan pada tahun lalu selepas Gabenor wilayah Lanao del Sur, Mamintal Adiong cedera ditembak yang turut mengorbankan pemandu dan tiga polis pengiring beliau ketika kejadian pada bulan lalu.

Beberapa minggu lalu, Mahkamah Agung mengisytiharkan kemenangan beliau yang pada mulanya tewas kepada pesaingnya pada pemilihan gabenor di wilayah Negros Oriental selepas proses kiraan semula undi dilakukan. - AFP