10 mangsa scammer pelaburan warga Australia akan hadir ke SPRM

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin
Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti 10 mangsa penipuan sindiket pelaburan di Australia untuk dipanggil bagi direkod keterangan pada minggu hadapan.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, kesemua mangsa ini dikesan hasil siasatan dan penahanan ahli sindiket sebelum ini.

Menurutnya, mangsa-mangsa ini terdiri daripada akauntan, broker saham serta peguam.

"Kita telah mengesan 10 warga Australia ini iaitu mangsa sindiket penipuan pelaburan.

"Mereka memberi kerjasama dan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu depan bagi tujuan rakam keterangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

21 Februari lalu, SPRM membongkar satu sindiket penipuan pelaburan yang didalangi oleh warga United Kingdom (UK) menerusi serbuan di sekitar ibu negara dan Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Op Tropicana itu berjaya melaksanakan 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat serta kediaman ahli sindiket.

Ahli-ahli sindiket ini terdiri daripada warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.

Modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dengan mensasarkan mangsa di kalangan warga UK dan Australia.

Penjenayah scammer ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Susulan itu, pada Jumaat, beberapa premis bank, pengurup wang dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota disyaki bersekongkol dan menjadi orang tengah kepada sindiket penipuan diserbu SPRM.