Jumlah penerima BSH ditingkatkan kepada 15,000 veteran

Adly Zahari. - Foto Bernama
Adly Zahari. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Jumlah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditingkatkan kepada 15,000 orang tahun ini daripada hanya 9,000 orang sebelum ini, dengan peruntukan berjumlah RM54 juta.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata walaupun tiada kenaikan bantuan bulanan, kementeriannya memutuskan menambah bilangan penerima bagi memastikan mereka yang layak dapat menikmati manfaat terbabit.

"Sekarang kita (Kementerian Pertahanan) bayar RM300 sebulan. Jadi untuk setahun, sekitar RM3,600 dan bagi yang tidak dapat pencen, bantuan RM300 (sebulan) ini dapat meringankan beban mereka.

"Paling utama kita akan sentiasa melihat kepada kumpulan sasar dan berusaha meningkatkan lebih banyak bantuan merangkumi pendidikan, kesihatan dan kebajikan anggota veteran," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jelajah Program Peduli Veteran (PPV) membabitkan enam keluarga pada Sabtu.

Beliau berkata, keutamaan kementeriannya tidak terhad kepada anggota malah terhadap anak-anak dan balu anggota yang berpencen serta tidak berpencen.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, sebanyak 40 rumah dibina secara percuma kepada anggota veteran yang daif di seluruh negara.

"Bagi pendidikan anak-anak anggota veteran di universiti, kita juga sememangnya bagi bantuan RM1,500 sebagai permulaan pengajian peringkat Ijazah.

"Begitu juga aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan serta keperluan anggota iaitu kita ada beri bantuan dari segi susu, makanan dan lampin pakai buang yang merupakan inisiatif dalam menjaga kebajikan veteran yang mengalami masalah kesihatan," katanya. - Bernama