MCA timbang beberapa pilihan hadapi PRN di beberapa negeri

Wee Ka Siong ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan ulang tahun MCA ke-74 di Wisma MCA pada Sabtu. - Foto: Bernama
Wee Ka Siong ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan ulang tahun MCA ke-74 di Wisma MCA pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCA sedang mempertimbangkan beberapa pilihan untuk parti itu menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, antara pilihan itu berkempen untuk rakan-rakan parti komponen MCA di bawah Barisan Nasional (BN) tetapi tidak bertanding dalam PRN.

"Dari 2008 sehingga kini, kami mengalami lebih banyak kekalahan daripada kemenangan di enam negeri ini. Dalam keadaan ini, MCA langsung tidak mempunyai kuasa rundingan dan akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar,” katanya ketika berucap melancarkan sambutan ulang tahun ke-74 parti itu pada Sabtu.

Turut hadir bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden, Datuk Dr Mah Hang Soon serta kepimpinan tertinggi parti termasuk kedua-dua sayap Wanita dan Pemuda.

Beliau berkata, pilihan lain bertanding di kerusi tradisi di enam negeri itu atau berusaha untuk bilangan kerusi minimum.

Ka Siong berkata, parti berusia 74 tahun itu juga perlukan golongan muda sebagai pengganti parti bagi mengembalikan kekuatannya ke arah yang lebih baik.

"Kita sering mengatakan bahawa generasi muda kita adalah masa depan negara tetapi ia tidak boleh sekadar slogan. Kita memerlukan orang muda untuk menjadi pengganti kita dalam platform politik ini,” katanya.

Sebelum itu, ahli parti itu turut bertafakur selama satu minit sempena pemergian Presiden keempat MCA, Tan Sri Lee San Choon pada Jumaat. - Bernama