Banjir: Apa solusi kerajaan?

Tinjauan dari udara melalui helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Segamat, Johor mendapati beberapa kawasan perumahan dan laluan masih lagi ditenggelami air. Foto: Bernama
Tinjauan dari udara melalui helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Segamat, Johor mendapati beberapa kawasan perumahan dan laluan masih lagi ditenggelami air. Foto: Bernama
A
A
A

TITAH Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan segera melakukan kajian terperinci untuk mengurangkan risiko dan mengatasi banjir perlu diberi perhatian.

Bukan hanya penyelesaian jangka panjang yang perlu diberi perhatian, tindakan segera juga perlu diutamakan.

Ketika ini sebahagian negeri Johor sudah ditenggelami air dan telah menjejaskan lebih 30,000 penduduk setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM50 juta bagi membantu dan memenuhi keperluan mendesak mangsa yang terjejas dengan tragedi itu.

Jika dihitung, kerajaan sememangnya memperuntukan sejumlah wang yang besar kepada negeri terjejas setiap kali berlaku musibah itu, namun ia boleh dielak sekiranya kerajaan memberi tumpuan kepada penyelesaian terhadap punca banjir.

Sekiranya tidak selesaikan masalah daripada punca, maka kerajaan sentiasa mengeluarkan wang yang banyak setiap kali negara dilanda banjir, sedangkan punca utama masih belum diatasi.

Perkara seperti ini bukanlah isu baharu, malah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi kehilangan nyawa.

Negara juga akan mengalami kerugian akibat kerosakan aset awam. Oleh itu kerajaan perlu bertindak segera agar isu banjir ini dapat diselesaikan sebaiknya, setidak-tidaknya mampu mengurangkan risiko bencana.

Selain menyalurkan peruntukan segera, kerajaan harus meneliti cadangan untuk mempercepatkan projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai yang semakin cetek, atau apa sahaja solusi yang difikirkan perlu agar kejadian ini tidak berlanjutan di masa akan datang.