Rohingya makin besar kepala

Tular rakaman video mempertikaikan tindakan yang diambil Mohd Sophian berkaitan warga Rohingya pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Sophian
Tular rakaman video mempertikaikan tindakan yang diambil Mohd Sophian berkaitan warga Rohingya pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Sophian
A
A
A

SHAH ALAM - Inilah sikap sebenar mereka, demikian luah aktivis masyarakat, Mohd Sophian Mohd Zain berkaitan video tular memaparkan seorang individu etnik Rohingya yang mendakwa tindakan Mohd Sophian hadir ke premis-premis perniagaan dimiliki etnik berkenaan mengganggu urusan mereka di negara ini.

Mohd Sophian berkata, apa yang diperkatakan individu tersebut jelas sekali menggambarkan sikap sebenar warga Rohingya di negara ini yang disifatkan semakin biadab dan besar kepala.

"Dia cakap soal kita ganggu hak dia, hak dari segi bekerja, menunggang motosikal, dia kena ingat status Rohingya di negara ini adalah pelarian dan apa yang diperkatakan semuanya itu tidak dibenarkan pun.

"Mereka adalah pelarian kemanusiaan bukan warga asing yang masuk secara sah di negara ini, tapi itulah sikap sebenar mereka yang disifatkan bila diberi betis nak paha," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Mohd Sophian, beliau tidak peduli dengan apa yang diperkatakan kerana bagi beliau urusan sekarang adalah dengan pihak berwajib dan bukannya Rohingya.

"Mereka ini bebas berniaga, bekerja, malahan ada yang bebas bercucuk tanam, mereka kuasai ekonomi secara perlahan dan masa sama mematikan peluang warga tempatan, dia nak cakap soal hak.

"Apa yang saya lakukan adalah beri kesedaran kepada rakyat, tentang hak kita sebagai rakyat sebenarnya yang dikikis sedikit demi sedikit oleh mereka ini," katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Rohingya ini adalah sifat lupa diri kerana sudah terlalu lama di negara ini.

"Mereka ini kebanyakan dah tinggal lama di Malaysia, dah beranak-pinak, ada kerja dan cukup selesa sehingga mereka lupa tentang apa status mereka sebenar.

"Inilah wajah mereka, mereka sudah terlalu selesa sehingga lupa diri, malah berani mempersoal kepada tindakan yang kita ambil," katanya.

Ujar Mohd Sophian, dalam masa sama terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan kononnya untuk membela Rohingya ini.

"Apa yang kita sedihkan, ada pula pihak di negara kita yang mana rakyat kita sendiri, terlalu mengagungkan mereka ini, dengan mengatakan mereka harus dibela dan diberi perlindungan.

"Jadilah warga yang bertanggungjawab, kita kena ingat, di Malaysia setakat ini sahaja sudah terdapat lebih ratusan ribu, adakah kita ini zalim, tidak sama sekali, tapi apa yang kita bimbangkan adalah sekiranya isu ini tidak kita bongkar, apa kesan kepada generasi seterusnya kelak," katanya.

Pada Selasa, tular rakaman video mempertikaikan tindakan yang diambil Mohd Sophian berkaitan warga Rohingya.

Individu tersebut turut mengatakan bahawa warga Rohingya di sini tidak pernah mengganggu urusan warga tempatan malahan bekerja sendiri demi mencari rezeki.