Keadaan banjir di lima negeri tidak banyak berubah

Penduduk setempat dilihat mula melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman mereka selepas banjir surut ketika tinjauan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan. - Foto Bernama
Penduduk setempat dilihat mula melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman mereka selepas banjir surut ketika tinjauan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seramai 36,191 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat ini berikutan banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Di Johor, keadaan banjir tidak menunjukkan sebarang perubahan positif, namun jumlah mangsa menurun sedikit kepada 32,870 orang setakat 4 petang, berbanding 33,149 orang 8 sebelah pagi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan terdapat dua lagi PPS dibuka menjadikan jumlah keseluruhan 219 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah dengan Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 12,258 orang dari 3,511 keluarga dipindahkan ke 78 PPS.

"Diikuti Kluang 5,251 orang dari 1,528 keluarga di 39 PPS; Batu Pahat 4,491 dari 1,215 keluarga di 25 PPS; Kota Tinggi 3,431 dari 923 keluarga di 20 PPS; Muar 2,853 dari 832 keluarga di 18 PPS dan Tangkak 2,186 dari 598 keluarga di 20 PPS,” katanya.

Turut terjejas, Johor Bahru dengan 1,218 orang dari 357 keluarga di enam PPS; Mersing 768 dari 228 keluarga di lapan PPS; Pontian 361 dengan 90 keluarga di empat PPS dan Kulai 53 dari enam keluarga di satu PPS.

Di Pahang, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat petang ini selepas 2,183 mangsa ditempatkan di 23 PPS berbanding 2,031 mangsa yang berada di 30 PPS pagi tadi dengan mangsa di Rompin kekal tertinggi iaitu 1,821 orang diikuti Maran (137 orang), Pekan (106 orang), Temerloh (90 orang) dan Bera (29 orang).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri pula memaklumkan PPS di Raub dan Jerantut yang masing-masing menempatkan 68 dan 96 mangsa pagi tadi telah ditutup.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 162 orang daripada 40 keluarga pada 2 petang Jumaat berbanding 144 mangsa daripada 35 keluarga pada 8 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka dalam satu kenyataan berkata, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah kekal 12 orang membabitkan enam keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan (PPS) Balai Raya Bukit Tambun.

"Di daerah Jasin pula, jumlah mangsa banjir yang terjejas meningkat kepada 150 orang daripada 34 keluarga berbanding 132 mangsa daripada 29 keluarga pagi tadi. Kesemua mangsa yang terjejas di Jasin ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Chohong, SK Seri Mendapat dan SK Parit Penghulu," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan sebanyak 36 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Chohong manakala 36 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat dan 78 mangsa daripada 19 keluarga, dipindahkan ke SK Parit Penghulu.

Di Jasin, sembilan kawasan dinaiki air iaitu Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong, Sempang Bekoh, Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Janda Berhias, Kampung Parit Penghulu dan Kampung Tasik.

Di Negeri Sembilan, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 938 mangsa daripada 272 keluarga di sembilan PPS setakat jam 1.30 tengah hari berbanding 1,061 mangsa daripada 301 keluarga pagi Jumaat.

Ia membabitkan Tampin dan Jempol dengan Jempol merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 796 individu.

Di Sarawak pula, jumlah mangsa banjir di kawasan Engkelili dan Julau menurun kepada 38 orang daripada 17 keluarga petang Jumaat berbanding 43 orang daripada 18 keluarga sebelummnya.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat ini sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

PPS Dewan Johnical Rayong di Engkelili menempatkan 24 mangsa daripada 12 keluarga manakala PPS Komplek Sukan Julau menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga. - Bernama