Bekas pengarah, pegawai kewangan dibebas kes tuntutan palsu

Gulam Rusol (dua dari kanan) dan Kamaruzzaman (dua dari kiri) ditemani peguam masing-masing ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Gulam Rusol (dua dari kanan) dan Kamaruzzaman (dua dari kiri) ditemani peguam masing-masing ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah syarikat pembekal ubat-ubatan dan bekas ketua pegawai kewangan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, berhubung tuntutan palsu lebih RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), pada 2014 lalu.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gulam Rusol Md Ismail, 60, dan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, pada akhir kes pendakwaan.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, hakim berkata: "Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, eksibit yang dikemukakan dan membaca serta mendengar hujahan, mahkamah mendapati terdapat kecacatan pada pertuduhan berkenaan."

Menurutnya, pasukan pendakwaan gagal menyatakan secara lengkap butiran palsu yang didakwa telah memperdayakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Ketiadaan mesin berkenaan di syarikat itu semasa juru audit hadir adalah disebabkan pembatalan pembelian oleh saksi pendakwaan ke-12, Pengarah Natureceuticals Sdn Bhd, Dr Amin Malik Shah Abdul Majid dan bukannya kedua-dua tertuduh.

“Hal tersebut bukan lagi berada bawah kawalan tertuduh-tertuduh, maka mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri bagi pertuduhan masing-masing,” katanya.

Pada 17 Julai 2020, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah Syarikat Natureceuticals mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian ‘stickpack machine’ berjumlah RM1.225 juta kepada Nordanial Rohimi, di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan niat memperdayakan ejen itu.

Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank, sedangkan mesin itu tidak pernah dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Herba, di kementerian itu, di Aras 2, Bangunan Galeri PjH, Lot 29, Jalan P4W, Prensint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Disember 2014.

Sementara itu, bekas ketua pegawai kewangan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol berhubung perkara sama di tempat dan masa serupa.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

Pembelaan untuk Gulam Rusol pula oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin sementara peguam, Muhammad Irzan Iswatt Mohd Noor bagi pihak Kamaruzzaman.