Messi terima nota ugutan

Kesan tembakan rambang di pintu kaca pasar raya milik keluarga Messi di Rosario, Buenos Aires. - Foto Agensi (Gambar kecil: Nota ugutan yang diletakkan di pintu pasaraya.)
Kesan tembakan rambang di pintu kaca pasar raya milik keluarga Messi di Rosario, Buenos Aires. - Foto Agensi (Gambar kecil: Nota ugutan yang diletakkan di pintu pasaraya.)
A
A
A

DUA lelaki bermotosikal melepaskan tembakan secara rambang ke pasar raya milik keluarga Antonela Roccuzzo, isteri Lionel Messi di Rosario, Buenos Aires pada Khamis.

Media tempatan melaporkan, penembak terbabit turut meninggalkan mesej ugutan bertulisan tangan di pintu masuk pasar raya tersebut.

“Messi, kami sedang tunggu anda. (Pablo) Javkin (Datuk Bandar) juga seorang pengedar dadah, dia tidak akan melindungi anda,” menurut mesej itu.

Javkin ketika ditemui media menuding jari kepada pihak keselamatan yang didakwa gagal membanteras jenayah terancang yang semakin berleluasa di bandar itu sejak beberapa tahun lalu.

“Saya bercakap dengan (Roccuzzos) dan mereka berasa bimbang,” ujar Javkin.

Dalam pada itu, imej televisyen menunjukkan kelongsong peluru di kawasan pejalan kaki di hadapan premis kepunyaan keluarga Roccuzzo.

Bahagian hadapan kedai terkena 14 butir peluru dan premis ditutup untuk siasatan lanjut.

Menteri Keselamatan Santa Fe, Claudio Brilloni pula berkata pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti motif serangan.

Messi dijadualkan pulang ke Argentina bulan ini untuk menyertai skuad kebangsaan yang akan beraksi dua perlawanan persahabatan menentang Panama di Buenos Aires pada 23 Mac dan berdepan Curacao lima hari kemudian di Santiago del Estero.