PM arah menteri teliti laporan audit kementerian masing-masing

Fahmi Fadzil ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet pada Jumaat. - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat telah mengarahkan para menteri untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang melibatkan kementerian masing-masing, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

"Perdana Menteri menegaskan bahawa menteri perlu teliti laporan melibatkan kementerian masing-masing walaupun dapatan mungkin berkait isu sebelum ini, tetapi perkara yang dibangkitkan (LKAN) mesti diselesaikan segera,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan dalam sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pada Jumaat.

Secara keseluruhannya, menurut LKAN yang dikeluarkan pada 16 Februari itu, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan namun masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya.

Anwar pada 17 Januari lepas telah mengarahkan Jemaah Menteri supaya mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Bagi audit melibatkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi berkata, pihaknya juga akan meneliti dakwaan berlakunya ketirisan dalam agihan Dana Kandungan Digital (DKD).

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dan pihak pengurusan untuk meneliti apakah yang telah berlaku dengan agihan DKD itu dan mendapati Akta Finas 1981 mungkin perlu dipinda.

"Yang positifnya, syarikat yang dinamakan terlibat dalam agihan DKD telah menghubungi KKD dan Finas untuk memberi penjelasan dan membersihkan nama mereka. Ada beberapa faktor termasuk pandemik Covid-19 yang mendatangkan kesan kepada industri perfileman khususnya bagi pihak produksi," katanya.

LKAN mendapati penyaluran DKD berjumlah RM4 juta dibuat kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan dan semakan audit mendapati ia disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak Ahli Lembaga Pengarah Finas.

Fahmi berkata, Perdana Menteri turut meminta KKD dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meneliti isu bayaran royalti kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan pemuzik lain.

Beliau berkata, satu mesyuarat antara beliau dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diadakan pada minggu hadapan bertujuan membentuk satu jawatankuasa bagi meneliti aspek melibatkan bayaran royalti dan pembangunan industri muzik.

Salahuddin pada 28 Februari lepas dilaporkan berkata, satu jawatankuasa bertindak bagi membincangkan isu berkaitan industri muzik rakaman tanah air akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, isu bayaran dan pengiraan royalti serta penubuhan badan tunggal untuk menyelesaikan isu badan pelesenan serta melindungi hak para pemilik hak cipta adalah antara perkara yang akan dibincangkan untuk dicari penyelesaian oleh jawatankuasa itu. - Bernama