Suri rumah jana pendapatan lebih RM20,000 hasil jualan tudung

Azlina (kiri) merupakan peserta terbaik sempena Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER yang diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
Azlina (kiri) merupakan peserta terbaik sempena Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER yang diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang suri rumah untuk mengubah nasib keluarga selepas suami diberhentikan kerja membuahkan hasil apabila beliau kini mampu meraih pendapatan lebih RM20,000 hasil perniagaan jualan tudung.

Wan Azlina Wan Ahmad Sanusi, 35, dari Kampung Geliga, Kemaman berkata, apa yang dikecapinya itu bermula selepas dia menyertai ejen 'dropship' atau pemesan hantar.

"Mula-mula saya hanya minat melayari jualan tudung secara dalam talian, kemudian ada seorang kenalan sarankan saya buat pembelian dengan sedikit imbuhan, akhirnya saya jadi 'dropship'.

"Selepas tu, saya dapat tahu mengenai program ni (Program Yayasan Petronas empower ECER) dari seorang rakan yang juga ada perniagaan jualan tudung dalam talian. Saya mula sertai program ini dan sejak itu saya buka mata tentang perniagaan," katanya yang merupakan pelajar jurusan jahitan dari Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Marang.

Azlina ialah peserta terbaik sempena Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, beliau menerima sijil disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Azlina menerima sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER yang diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
Azlina menerima sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER yang diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

Menurut Azlina, perniagaan yang diusahakan lebih sistematik selepas dia mula mengaplikasikan setiap teknik yang diajar oleh jurulatih selepas menyertai program empower ECER.

"Dalam tempoh enam bulan, hasil pendapatan dari perniagaan tudung ini melonjak dari RM1,000 hingga ke RM6,000 sebulan. Pernah juga hasil jualan mencecah RM23,000 sebulan dan purata pendapatan kini sekitar RM15,000," katanya

Menurut Azlina, sebelum ini beliau pernah mencuba pelbagai cabang perniagaan termasuk menjual belon di pantai-pantai peranginan sekitar Kemaman dan Kuantan serta berniaga di pasar malam.

Namun katanya, pendapatan diperoleh sekadar mampu menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Kehidupan kami sekeluarga menjadi agak sukar apabila suami saya diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pekerjaan tetap selama hampir setahun.

"Sekarang saya bersyukur berpeluang menyertai program ini. Ia membantu saya meningkatkan pendapatan keluarga," ujarnya.