WHO gesa sokong mangsa gempa Syria

Dr Tedros bersama seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa.
Dr Tedros bersama seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa.
A
A
A

BAB AL-HAWA - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa komuniti antarabangsa supaya menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas gempa di barat laut Syria.

Gesaan itu dibuat Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika beliau mengadakan lawatan pertama di kawasan terkesan bencana tersebut yang dikawal kumpulan pemberontak selepas perang saudara berlarutan sejak hampir 12 tahun lalu.

“Golongan itu memerlukan sokongan banyak pihak untuk usaha pemulihan dan projek pembinaan semula,” kata Tedros selepas beliau melintasi sempadan Bab al-Hawa dari Turkiye pada Rabu.

Beliau turut berkunjung ke beberapa hospital dan pusat penempatan sementara yang didirikan berhampiran sempadan Ankara.

Sebelum ini, beliau juga berkunjung ke kawasan dikawal kerajaan di Aleppo dan Damsyik yang turut terjejas siri gempa kuat sejak 6 Februari lalu dan telah meragut lebih 50,000 nyawa.

Kebanyakan penduduk Syria kini tinggal di bangunan yang musnah akibat dibedil di bandar utara Raqa.
Kebanyakan penduduk Syria kini tinggal di bangunan yang musnah akibat dibedil di bandar utara Raqa.

Data rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 4,537 terkorban di kawasan dikawal kumpulan pemberontak, sementara 1,414 kematian direkodkan di zon di bawah kawalan kerajaan.

Bagi meringankan derita golongan berkenaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjanjikan bantuan dana berjumlah AS$397 juta (RM1.8 bilion) untuk mangsa terkesan gempa.

“Ia masih tidak mencukupi. Keperluan terus meningkat, sedangkan bantuan antarabangsa semakin berkurangan. Kita tidak wajar membelakangkan penduduk di Syria kerana konflik dalaman negara itu,” ujarnya.

Beberapa hari selepas tragedi itu, kumpulan aktivis dan pasukan kecemasan di kawasan dikawal pemberontak pernah menzahirkan rasa kecewa kerana tindak balas perlahan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Ketua agensi bantuan PBB, Martin Griffiths juga mengakui badan antarabangsa itu gagal untuk memberi bantuan segera kepada penduduk terjejas di barat laut Syria.

Dr Tedros (tengah) menggesa sokongan banyak pihak untuk membantu usaha pemulihan dan projek pembangunan di barat laut Syria.
Dr Tedros (tengah) menggesa sokongan banyak pihak untuk membantu usaha pemulihan dan projek pembangunan di barat laut Syria.

Setakat kini, kira-kira 420 trak membawa bekalan bantuan PBB telah merentasi kawasan dikawal puak pemberontak melalui lintasan Bab al-Hawa selepas konvoi pertama tiba pada 9 Februari lalu.

Laluan sempadan itu terletak di wilayah Idlib dan berada di bawah kawalan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham.

Akses itu diperoleh selepas Presiden Syria, Bashar al-Assad menyatakan kesediaan untuk membuka lintasan sempadan penting bagi membolehkan bantuan dihantar kepada mangsa gempa, sekali gus mengetepikan perbalahan yang tercetus dengan puak penentang beliau.

Pada pertengahan bulan lalu, delegasi pertama PBB termasuk Penyelaras Kemanusiaan Serantau, David Carden mengadakan lawatan ke barat laut Syria termasuk melaksanakan misi penilaian terhadap struktur dan harta benda yang musnah teruk akibat gempa. - AFP