Perak mahu projek jajaran baharu Gopeng-Kuala Kangsar disegerakan

Saarani (kiri) mendengar aduan penduduk sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit pada Khamis.
Saarani (kiri) mendengar aduan penduduk sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Projek jajaran baharu Gopeng-Kuala Kangsar sebagai laluan alternatif ke utara perlu diteruskan dan disegerakan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, pelaksanaannya penting memandangkan kes-kes kemalangan dan kesesakan yang kerap berlaku terutama di Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan.

"Saya harap projek ini dapat disegerakan, kalau boleh tahun ini. Kita rasa resah saban minggu berlaku kemalangan maut di tempat yang digeruni di Terowong Menora itu.

"Jadi kita harap lagi cepat diluluskan lagi cepat dibangunkan, lagi cepat kita boleh membantu menyelesaikan masalah ini," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit di sini pada Khamis.

Saarani berkata, projek laluan pintas sejauh 64 kilometer itu telah dicadangkan kepada kerajaan negeri oleh syarikat konsesi pada 2021, namun tertangguh disebabkan beberapa faktor termasuklah pembubaran Parlimen.

Katanya, setakat ini, syarikat terlibat telah melakukan prosedur yang diperlukan bagi mendapatkan kelulusan dan perjanjian konsesi daripada Kabinet.

"Mereka (syarikat) telah pergi kepada Kementerian Kerja Raya dan melalui segala proses yang patut.

"Apabila Kerajaan Pusat bersetuju nanti, kita akan terus lakukan langkah selanjutnya termasuklah proses pengambilan tanah bagi memulakan projek ini," katanya.

Pada Mei tahun lalu, kerajaan negeri sudah memberi kelulusan terhadap cadangan pembinaan jalan baharu itu yang bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar.

Pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan peruntukan kerajaan, sebaliknya dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Dalam pada itu, Daerah Perak Tengah menjadi destinasi pertama dalam Siri Jelajah Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan tahun ini bertujuan memberi ruang penduduk setempat bertemu barisan Exco dan ketua jabatan negeri serta daerah bagi menyelesaikan aduan masing-masing.

Sepanjang sesi pertemuan itu, sebanyak 170 aduan direkodkan dengan aduan tertinggi menerusi kaunter Menteri Besar dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.

Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penyerahan bantaun wnag ehsan RM1,000 kepada mangsa banjir sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit pada Khamis.
Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penyerahan bantaun wnag ehsan RM1,000 kepada mangsa banjir sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit pada Khamis.

Dalam majlis sama, Saarani turut menyampaikan bantuan wang ehsan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada 151 penduduk di Mukim Belanja, Layang dan Bota yang terkesan akibat banjir pada November tahun lalu.

Turut diserahkan sumbangan bot daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Majlis Daerah Perak Tengah.