Gadai nyawa guna tali redah arus banjir hantar makanan ke PPS

Seorang lelaki berpaut pada tali sambil meredah arus deras banjir untuk menyampaikan bantuan banjir ke PPS. - Foto video TikTok Zurainiswarno
Seorang lelaki berpaut pada tali sambil meredah arus deras banjir untuk menyampaikan bantuan banjir ke PPS. - Foto video TikTok Zurainiswarno
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah video menyaksikan seorang lelaki sanggup membahayakan diri meredah arus deras banjir untuk menghantar makanan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah di negeri ini meraih perhatian orang ramai.

Video berdurasi 26 saat dikongsi oleh pengguna di TikTok dengan akaun Zurainiswarno, menunjukkan lelaki dikenali dengan nama abang Salleh itu sanggup bertahan dalam arus deras bagi menyampaikan bantuan berkenaan.

Difahamkan, lokasi berkenaan ialah di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah di Segamat yang dijadikan sebagai PPS.

Menurusi video berkenaan, kelihatan beberapa mangsa banjir membantu abang Salleh dengan memegang kuat tali pada kedua-dua hujung bagi membolehkannya sampai ke pagar sebuah berkenaan.

Bagaimanapun cubaan tersebut tidak berhasil kerana arus terlalu deras sehingga memaksa lelaki itu berpatah balik.

Dalam pada itu, rata-rata warga maya menerusi ruangan komen dalam video berkenaan menyampaikan simpati dan doa mereka kepada mangsa supaya tabah berhadapan musibah banjir di Johor.

Pengguna TikTok, Dee@mama Mai menulis: 'Semoga dipermudahkanlah urusan saudara-saudara kita di Johor dan semua kawasan dan negeri yang terlibat banjir, Aamin'.

Sementara Norihan Yahya pula menulis: 'Semoga ALLAH permudahkan segala urusan dan bantuan yang dihulurkan'.

Chaah antara kawasan yang terjejas teruk dengan lebih 2,100 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 12 tengah hari Khamis, jumlah mangsa meningkat kepada 26,633 penduduk daripada 7,311 keluarga.