451kg dadah bernilai RM14.9 juta dirampas

Hussein (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram daripada dua suspek semasa tangkapan di Rawang pada Selasa.
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram daripada dua suspek semasa tangkapan di Rawang pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dengan rampasan dadah bernilai RM14.9 juta, di Rawang pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap dua lelaki berumur 22 dan 33 tahun di kawasan Rawang, Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, tangkapan kira-kira 12.55 tengah hari itu berjaya merampas 10 guni putih yang mengandungi sejumlah 503 bungkusan plastik berwarna keemasan yang tertera tulisan 'Freeze-dried Durian' dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara.

"Bungkusan terbabit disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram.

"Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai 'transporter' yang membawa dadah dari negara jiran melalui Kelantan ke Selangor.

"Bekalan dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 2.1 juta pengguna dadah jenis syabu dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram seorang," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.

Dadah jenis Methamphetamine diletakkan di dalam bungkusan plastik berwarna keemasan yang tertera tulisan 'Freeze-dried Durian'.
Dadah jenis Methamphetamine diletakkan di dalam bungkusan plastik berwarna keemasan yang tertera tulisan 'Freeze-dried Durian'.

Hussein berkata, kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan menerima upah sebanyak RM10,000.

Jelas beliau, semakan terhadap kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1), 12(2), 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Tindakan juga akan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengesan dan menyita harta-harta yang diperoleh daripada hasil aktiviti pengedaran dadah.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 1 hingga 7 Mac ini," katanya.

Tambahnya, ini merupakan rampasan kedua terbesar pada tahun ini dan terbesar di Selangor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.