Lapan individu ditahan, kes pemandu lori dipukul hingga mati

Anbalagan. Laporan Sinar Harian.
Anbalagan. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SERDANG - Seramai lapan individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemandu lori dipukul sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kesemua suspek ditahan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak, arah Selatan pada jam 7 malam, Rabu.

"Kesemua suspek lelaki berusia 25 hingga 32 tahun, manakala suspek wanita berusia 26 tahun itu dipercayai teman wanita suspek utama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anbalagan berkata, hasil soal siasat awal mendapati selepas kejadian itu, kesemua suspek telah melarikan diri ke Perak.

"Kes pembunuhan ini dipercayai bermotifkan dendam dan cemburu suspek utama terhadap mangsa, yang mana kedua-duanya adalah kenalan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan mangsa berusia 31 tahun dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di rumah sewanya di kondominium terbabit.

Anbalagan dilaporkan berkata, kejadian diketahui oleh adik perempuan mangsa berusia 26 tahun selepas menerima panggilan telefon daripada seorang rakan mangsa memaklumkan kejadian itu, kira-kira jam 7.15 pagi.

Adik mangsa bergegas ke Hospital Cyberjaya namun dimaklumkan oleh pihak hospital abangnya sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya.