Peruntukan RM676.4 juta untuk pekebun kecil

Majlis Perhimpunan Bulan Mac Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023 dirasmikan Ahmad Zahid yang berlangsung di Ibu Pejabat RISDA. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
Majlis Perhimpunan Bulan Mac Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023 dirasmikan Ahmad Zahid yang berlangsung di Ibu Pejabat RISDA. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 menyaksikan peruntukan sebanyak RM676.4 juta disalurkan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang ditetapkan kepada RISDA tahun ini mengambil kira strategi komprehensif melalui lima komponen utama yang digariskan.

Menurutnya, komponen utama tersebut meliputi pembangunan kawasan tanaman getah, peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil, pembangunan semula hasil baharu, rawatan penyakit luruhan daun seta bantuan musim tengkujuh (BMT).

"Kesemua komponen ini adalah elemen yang menyokong kepada Dasar Pembangunan Luar Bandar yang ditetapkan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia bagi menerajui pembangunan komuniti desa.

"Kesemua program ini dirangka bagi memastikan pekebun kecil dapat memajukan kebun getah dengan subsidi utama sehektar RM13,710 bagi kawasan Semenanjung, RM14,805 (Sarawak) dan RM14,955 (Sabah)," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Ibu Pejabat Risda di sini pada Khamis.

Pada majlis sama, beliau melancarkan Tahun Peningkatan Pendapatan dan Produktiviti Pekebun Kecil yang memfokuskan kepada peningkatan pendapatan produktiviti hasil lateks, pembangunan keusahawan serta program agromakanan yang bakal memanfaatkan lebih 500 ribu orang pekebun kecil di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi menyokong strategi peningkatan pendapatan ini, RISDA menyediakan Penetapan Zon Pengeluaran Lateks bagi membantu meningkatkan produktiviti getah kepada 1,800 kilogram bagi setiap hektar setahun.

Ujarnya, antara strategi dilaksanakan adalah pembinaan 51 unit Depo Pengumpulan Lateks untuk menyokong penjualan hasil lateks dengan kaedah pemasaran berkelompok secara jualan terus ke kilang.

"Sebanyak 15 unit depo lateks juga akan dibina pada tahun ini bag merancakkan lagi penghasilan lateks ole pekebun kecil.

"Melalui penghasilan lateks, ia mampu untuk meningkatkan kepada lebih 30 peratus pendapatan pekebun kecil. Buat masa ini, harga lates boleh mencecah sehingga RM 6.37 sekilogram berbanding harga skrap pada harga RM 2.41 sekilogram," katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau RISDA turut menyasarkan untuk melahirkan dan membimbing seramai 22,500 orang usahawan pekebun kecil dengan nilai bantuan RM20,000 bagi setiap penerima.

"Program ini adalah bagi memastikan 30 peratus pekebun kecil memperoleh purata pendapatan RM2,500 sekeluarga pada tahun 2025 melalui aktriviti keusahawanan.

"Sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada RISDA tahun ini bagi melaksanakan Program Agromakanan bagi menyokong keperluan dasar agromakanan negara sekali gus menjamin kesejahteraan dan kemakmuran warga desa," katanya.