Ahli Parlimen rakam ucapan takziah kepada mangsa banjir Johor

Keadaan banjir di sekitar Chaah, Segamat.
Keadaan banjir di sekitar Chaah, Segamat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi Khamis dibanjiri ucapan takziah susulan banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Johor ketika ini.

Ucapan takziah itu bukan sahaja dizahirkan oleh ahli Parlimen dari negeri berkenaan tetapi turut mendapat simpati wakil rakyat dari negeri-negeri lain.

Antara ahli Parlimen yang tampil merakamkan ucapan tersebut ialah Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang).

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada mangsa banjir di Johor dan saya percaya krajan sedang melakukan yang terbaik untuk bertindak di Johor, Insya-ALLAH," kata Ahmad Fadhli.

Syed Ibrahim pula tampil mengucapkan takziah kepada mendiang K Sarathkumar yang meninggal dunia dalam banjir di Kluang.

“Di samping saya juga mengambil kesempatan untuk bersimpati kepada mangsa banjir di Johor yang sudah lebih daripada 25,000 orang.

“Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat sama-sama membantu,” katanya.

Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) turut sama mengucapkan takziah.

“Pertamanya saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa banjir di mersing dan terima kasih kepada semua petugas,” kata Muhammad Islahuddin.

“Tanjong Karang turut menzahirkan rasa simpati dan takziah di atas mangsa-mangsa banjir di Johor,” kata Zulkafperi.

Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 25,213 orang setakat jam 8 pagi pada Khamis.

Mereka membabitkan 7,013 keluarga yang dipindahkan ke 187 PPS yang dibuka di 10 daerah terjejas banjir.

Jumlah itu meningkat mendadak berbanding 9,167 penduduk daripada 2,760 keluarga yang ditempatkan di 90 PPS di enam daerah setakat jam 8 malam Rabu.